loading...

Najib Rasmi Menara JKR, Dinobat Ikon Negara

KUALA LUMPUR – Menara Kerja Raya yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini kini menjadi salah satu bangunan ikonik yang menjadi mercu tanda kebanggaan negara.

 
Perdana Menteri berkata, beliau amat berbangga dengan pencapai­an tenaga kerja tempatan dalam menghasilkan inovasi dan mutu kerja yang cemerlang sehingga membolehkan Menara Kerja Raya dinobatkan sebagai antara 10 menara baharu terbaik di dunia oleh majalah Bussiness Insider, United Kingdom (UK), pada Oktober 2015.

 
Selain itu, kata beliau, menara tersebut juga telah berjaya memperoleh penarafan Green Buiding Index (GBI) tahap platinum dan Menara Kerja Raya merupakan bangunan kerajaan pertama diberikan penarafan tersebut.

 
“Tambah membanggakan me­nara ini juga dinobatkan sebagai naib juara pertama ASEAN Energy Awards 2016 dan pada 5 November lalu, menara ini memenangi tempat pertama Malaysia Property Award 2016 kategori sektor awam.

 
“Jelas sekali semua pengiktirafan ini bukan sahaja menunjukkan tahap kualiti tinggi yang dicapai tetapi status mesra alam pada struktur rekaannya juga membuktikan kesungguhan kerajaan dalam melaksanakan konsep pembangunan mapan di negara ini,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Menara Kerja Raya hari ini.

 
Yang turut hadir Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan timbalannya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Menurut Najib, kejayaan melalui pembinaan Menara Kerja Raya itu selaras dengan hasrat serta aspirasi negara untuk meletakkan penjagaan alam sekitar dan pembangunan mapan dalam agenda pembangunan negara.

 
Menara tersebut yang siap dibina pada tahun lalu dengan kos RM309 juta mengambil masa selama 130 minggu untuk disiap­kan merangkumi 37 tingkat berserta dua tempat letak kereta bawah itu berkonsepkan ‘berlian di dalam bandar’ dengan penggunaan muka bangunan kaca segi tiga sebagai tarikan utama.

 
Struktur bangunan pula dibina melengkung dengan pembinaan 20 tiang utama yang sentiasa condong dua hala dari aras plaza hingga ke aras 37.

 

 

Sebuah podium yang menempatkan tempat letak kereta tujuh tingkat serta dua unit kafeteria di bumbungnya dibina bersambung sekali dengan bangunan menara tersebut.

 
Bangunan itu yang dahulunya dikenali sebagai Projek Kompleks Kerja Raya Dua kini dinamakan sebagai Menara Kerja Raya dan menempatkan lebih 1,200 pegawai dari lima cawangan Kementerian Kerja Raya.-Utusan



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...