loading...

Isteri Sanggup Sekongkol Bunuh Suami

TELUK INTAN – Seorang isteri tergamak bersekongkol dengan kekasihnya, seorang warga Nepal, untuk membunuh suaminya di kediaman mereka di sini Jumaat lepas.

 

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, wanita berusia 30 tahun itu hadir sendiri di Balai Polis Hutan Melintang, Bagan Datoh untuk membuat laporan.

 

Katanya, wanita berkenaan berkata suaminya yang merupakan seorang pemandu lori ditemukan terbaring dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu rumah mereka di Kampung Mutiara, Batu 10, Jalan Hutan Melintang.

 

“Hasil siasatan mendapati lelaki berusia 40-an itu maut dipukul dengan menggunakan objek tumpul dipercayai tukul besi di bahagian belakang kepala,” kata Wan Hassan dalam satu kenyataan di sini hari ini.

 

Selepas siasatan, Wan Hassan berkata pihak polis menahan wanita berkenaan pada hari kejadian.

 

Teman lelakinya serta abang kepada wanita itu yang berusia 31 tahun ditahan pada keesokkan harinya.

 

“Semasa soal siasat, kedua-dua suspek membuat pengakuan membunuh mangsa dan kita turut menemukan barang kes pembunuhan itu.

 

“Motif pembunuhan ini dipercayai disebabkan oleh percintaan tiga segi antara isteri mangsa dengan lelaki warga Nepal itu,” katanya yang percaya kes tersebut telah berjaya diselesaikan.

 

Justeru katanya kesemua suspek berkenaan ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

 

Wan Hassan turut meminta sesiapa yang mempunyai maklumat berkenaan kes tersebut agar menghubungi balai polis di talian 05-6299222 untuk membantu siasatan. – Bernama



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...