KUALA LUMPUR – Dewan Keadilan dan Undang mengesahkan bahawa Mohd Jan Abdul Ghani sah dilucutkan jawatan sebagai Undang Luak Johol Ke-14.
Perkara itu dimaklumkan oleh Datuk Jenang, Zakaria Mohammad dalam kerapatan adat Luak Johol yang diadakan di Kampung Tanggai, Johol dalam daerah Kuala Pilah, semalam.
Zakaria juga memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Sembilan menerima keputusan Dewan Keadilan dan Undang dan bersedia menerima keputusan Luak Johol untuk memutuskan penyandang Undang Luak Johol yang baharu.
Serentak dengan itu, Zakaria mengisytiharkan Timbalan Undang Johol, Muhammad Abdullah sebagai Undang Luak Johol Ke-15 yang turut disaksikan kira-kira 500 rakyat luak Johol dan pembesar negeri.
Pengisytiharan dilakukan dengan penyerahan keris penyalang dan cop mohor Undang Luak Johol kepada Undang Muhammad sebagai tanda kekuasaan pemerintahan di Johol dan Negeri Sembilan.
Sementara itu, Undang Muhammad dalam ucapan sabdanya berkata, pelantikan sebagai Undang bukannya untuk kebanggaan diri.
“Sebaliknya, ia amanah dan tanggungjawab yang terpaksa dipikul kami sebagai tempat naungan rakyat Johol. Kami sebagai tempat bersandar, bergantung dan berlindung.
“Kami kena memerintah adil dan saksama dengan mengambil kepentingan semua rakyat tidak kira keturunan dan agama. Kami dituntut supaya menegakkan keadilan,” katanya.
Pada 27 Mac yang lalu, Mohd Jan dilucutkan kuasanya sebagai Undang Luak Johol menerusi pengisytiharan Zakaria selepas Buapak Yang Enam membuat keputusan.
Keputusan itu dibuat selepas Mohd Jan didapati melakukan 13 salah laku adat serta melanggar ketetapan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Pemecatan itu bagaimanapun perlu menunggu pengesahan daripada Dewan Keadilan dan Undang yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz ibni almarhum Tuanku Munawir.
Undang Luak Johol bersama, Yang di-Pertuan Besar, Undang Luak Sungei Ujong, Undang Luak Jelebu, Undang Luak Rembau dan Tunku Besar Tampin adalah pemerintah bersama Negeri Sembilan.
Mereka bersama adalah ketua agama Islam, pelindung adat Melayu dan kedudukan istimewa Bumiputera dan kepentingan sah kaum lain di negeri berkenaan, seperti yang diperuntukkan Undang-Undang Tubuh Negeri dan Perlembagaan Persekutuan. – BeritaDaily
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW