loading...

Malas Membaca Buku Berisiko Lebih Cepat Mati?

LONDON — Seseorang yang membaca buku selama 30 minit sehari dapat hidup lebih lama berbanding mereka yang tidak berbuat demikian, menurut satu kajian terbaru.

 

Mereka yang membaca lebih 3.5 jam seminggu kurang risiko mati sebanyak 23 peratus, lapor portal The Guardian.

 

Mereka yang membaca sehingga 3.5 jam seminggu pula kurang kemungkinan mati sebanyak 17 peratus, menurut makalah dalam jurnal Social Science & Medicine edisi September.

 

Pembaca buku hidup hampir dua tahun lebih lama daripada mereka yang malas membaca. Kesimpulan itu dicapai daripada kajian corak bacaan 3,635 responden berusia 50 tahun ke atas.

 

Secara keseluruhan, dalam tempoh kajian, ia mendapati 33 peratus bukan pembaca buku meninggal dunia berbanding 27 peratus pembaca buku, tulis tiga pensyarah Universiti Yale.

 

Avni Bavishi, Martin Slade dan Becca Levy, dari Fakulti Kesihatan Awam universiti itu, menulis dalam makalah mereka “A Chapter a Day: Association of Book Reading with Longevity.”

 

Bavishi berkata lebih banyak responden membaca, semakin lama mereka berpeluang hidup tetapi “membaca sekurang-kurangnya 30 minit sehari sudah cukup bermanfaat untuk hidup.”

 

“Kami mendapati membaca buku memberi manfaat yang lebih besar daripada membaca akhbar atau

majalah.

 

“Kami dapati kesan ini mungkin kerana buku lebih merangsang fikiran pembaca — membekal lebih manfaat kognitif dan, oleh itu, meningkatkan jangka hayat,” katanya lagi.

 

Menurut makalah terbabit, terdapat dua proses kognitif semasa membaca buku yang boleh mencipta “kelebihan daya hidup.”

 

Pertama, buku menggalakkan pembaca menyelami isinya dengan perlahan-lahan, rangsangan kognitif yang terjadi apabila pembaca mencantum bahagian-bahagian lain isi buku, mengaitkan kegunaannya dalam kehidupan nyata dan bertanya kandungan yang dibentangkan.

 

“Rangsangan kognitif ini menjelaskan mengapa kosa kata, penghujahan, tumpuan dan kemahiran kritikal meningkat melalui pembacaan buku,” tulis tiga ahli akademik berkenaan.

 

Kedua, buku “boleh menggalakkan empati, tanggapan sosial dan kecerdasan emosi iaitu proses kognitif yang boleh menguatkan daya hidup,” kata mereka lagi.

 

Biarpun responden kaji selidik itu tidak menyatakan jenis buku yang dibaca, menurut makalah itu, kebanyakan pembaca mungkin membaca buku-buku cereka.

 

Mereka memetik satu kajian National Endowment for the Arts pada 2009 yang mendapati 87 peratus pembaca buku memilih fiksyen. – MalayMail



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Previous
Next Post »
loading...