loading...

PRN Sarawak: DAP PKR Dijangka Bertembung Di Beberapa Kerusi

KUCHING – Menjelang tiga hari lagi penamaan calon, DAP dan PKR gagal mencapai kata sepakat dan dijangka bertembung sesama sendiri di sekurang-kurangnya lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN11).

 

Selain Mambong, DAP dan PKR dijangka bertanding di Simanggang, Ngemah, Mulu dan Murum, selepas kedua-dua pihak enggan mengalah serta berkompromi dalam proses pembahagian kerusi bakal ditandingi.

 

Malah, pertelagahan itu tiba ke kemuncaknya apabila Naib Pengerusi PKR Sarawak, Boniface Willy Tumek, mengumumkan keluar parti itu semalam selepas kecewa dengan kepemimpinan PKR Pusat yang disifatkannya terlalu berlembut dengan DAP dalam isu pembahagian kerusi berkenaan.

 

Boniface berkata, tindakan kepimpinan PKR Pusat yang terlalu memikirkan kedudukannya dalam gabungan bersama DAP di Pulau Pinang dan Selangor menyebabkan mereka ‘hilang taring’ di meja rundingan berhubung proses pengagihan kerusi untuk ditandingi dalam PRN11.

 

“Kepimpinan PKR Pusat diibaratkan seperti ‘anak kecil yang mahu selamat dalam kawasan musuh’.

 

Hasil tinjauan umum mendapati PKR

lebih popular berbanding DAP di Sarawak, namun kepimpinan kita di peringkat Pusat terlalu berlembut, malah tampak kurang yakin di meja rundingan.

 

“Bersandarkan kepada kelebihan itu, kita sepatutnya lebih berani bersuara, …menuntut hak kita (di meja rundingan) menentukan jumlah kerusi ditandingi dan bukannya hanya sekadar mengikut telunjuk DAP,” katanya.

 

Lebih membuatkan Boniface ‘mual’ dengan percaturan kepimpinan tertinggi PKR Pusat apabila beliau diarahkan supaya tidak bertanding di kawasan diketuainya sendiri di Parlimen Mas Gading pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sebelum ini, seterusnya DUN Tasik Biru dalam PRN11.

 

Malah, rasa tidak puas hatinya tidak mampu dibendung selepas diarahkan berundur dan memberi laluan kepada calon DAP, Mordi Bimol, di Parlimen Mas Gading, seterusnya tewas kepada calon BN, Anthony Nogeh Ngumbek yang kini Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

 

Pada PRN10, DAP menang 12 kerusi majoriti Cina, namun kehilangan satu kerusi di Pujut selepas penyandangnya, Fong Pau Teck, dipecat dan kalah di tiga kerusi iaitu Simanggang, Bawang Assan dan Bukit Kota. – BHarian


Previous
Next Post »
loading...