MOSCOW – Dadah jenis meldonium yang diambil jelitawan tenis Maria Sharapova, kerap diberikan kepada tentera Soviet pada tahun 1980-an bagi meningkatkan kecergasan ketika berjuang di Afghanistan dan biasanya memberi kesan perubatan dalam tempoh empat hingga enam minggu.
Sharapova digantung sementara selepas positif dadah yang turut dikenali sebagai mildronate, dengan bintang tenis Russia itu mengakui mula mengambilnya sejak 10 tahun lalu atas sebab pelbagai isu perubatan.
Bagaimanapun, Sharapova tidak menjelaskan dengan lanjut dalam pengumumannya kelmarin berapa banyak dos diambilnya sepanjang tempoh berkenaan.
Peguamnya, John J Haggerty juga enggan memberi maklumat terperinci, tetapi berkata ketika sidang media betapa dia mahu semua pihak faham keputusan Maria mengambil mildronate setiap hari selama 10 tahun bukanlah suatu kes.
Grindeks, syarikat dari Latvia yang mengeluarkan meldonium, berkata menerusi kiriman emel kepada The Associated Press berkata: “Bergantung kepada keadaan kesihatan pesakit, kesan meldonium untuk memulihkan penggunanya mungkin berbeza iaitu daripada empat hingga enam minggu.
“Rawatan boleh diulang dua atau tiga kali setahun. Hanya doktor boleh menilai keadaan kesihatan pesakit dan menyatakan sama ada pesakit harus menggunakan meldonium untuk tempoh masa yang panjang.”
Haggerty berkata: “Maria perlu kerap mengambil mildonrate kerana mematuhi saranan doktornya.”
Dia bagaimanapun menolak untuk memperincikan mengenai sesi rawatan Sharapova, sambil mendakwa dia terpaksa mematuhi peraturan yang ditetapkan Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) untuk tidak membocorkan maklumat rahsia sepanjang proses itu berlaku.
Meldonium adalah sejenis ubat jantung yang digunakan untuk meningkatkan pengaliran darah dan tidak begitu dikenali di Amerika Syarikat, tetapi pernah menjadi ubat yang sering digunakan oleh tentera Soviet.
Pembuat dadah terbabit, Ivan Kalvins, memberitahu akhbar Latvia Diena dalam sesi temubual pada 2009, bahawa meldonium diberikan kepada tentera pada tahun 1980-an, ketika tentera Soviet berjuang di Afghanistan.
“Kawasan yang tinggi. Kekurangan oksigen. Jika mereka harus berlari 20 kilometer dengan membawa kelengkapan penuh, pada akhirnya mereka akan mendapat ischemia (masalah peredaran darah),” kenyataan Kalvins itu dipetik semula.
“Mereka semua diberi meldonium. Mereka sendiri tidak sedar mereka sudah menggunakannya. Tiada seorangpun ditanya (sama ada bersetuju dengannya) ketika itu.”
Kalvins berkata meldonium bukanlah ‘doping’ sambil menambah ia ‘membenarkan anda untuk menahan bebanan tekanan fizikal, tetapi tetap mengeluarkan tenaga dalaman seperti biasa.”
Kelmarin, juara lima kali Grand Slam itu mengumumkan dia positif meldonium di Terbuka Australia Januari lalu dan mendakwanya sudah mengambilnya sejak 2006, namun ia baru sahaja disenaraikan sebagai bahan larangan oleh Agensi Anti Doping Dunia (WADA) pada 1 Januari 2016. – AP