Sabak Bernam – “Ketika saya dan rakan dalam perjalanan ke surau dari bilik asrama jam 5 pagi, kami ternampak api marak serta asap tebal dari stor sebelum bergegas mengejutkan rakan lain,” kata Mohd Aidil Idham Zadin, 16, pelajar Maahad Tahfiz Darul Itqan Al-Muhammadi, Kampung Batu 40, dekat sini, semalam.
Mohd Aidil seorang daripada 60 mangsa kebakaran apabila tiga bilik asrama mereka di maahad terbabit hangus dijilat api dalam kejadian jam 5 pagi, semalam.
Selain bilik asrama, kebakaran itu turut memusnahkan pejabat pengurusan asrama, bilik guru, bilik koperasi serta stor yang menempatkan peralatan asrama termasuk katil, tilam, cadar dan bantal.
Mohd Aidil berkata, dia bersama rakannya itu berlari dan menjerit kepada rakan lain yang tidur supaya keluar dari asrama.
“Ketika itu mereka semua terkejut sebelum kami memberitahu bilik stor terbakar lalu semuanya bergegas bangun dan berlari keluar.
“Saya bersyukur semua selamat walaupun barangan kami seperti pakaian, buku dan keperluan harian hangus,” katanya.
Pengetuanya Mohd Syarif Musa berkata, kebakaran itu bermula dari sebuah stor sebelum merebak ke tiga bilik asrama bersebelahan, pejabat pengurusan, bilik guru dan koperasi.
Katanya, api marak dengan cepat kerana bangunan berkenaan diperbuat daripada kayu.
Mohd Syarif berkata, buat sementara pelajar yang kehilangan tempat tinggal itu ditempatkan di asrama lama yang menempatkan 43 pelajar lain dan sebahagiannya ditempatkan di surau maahad.
“Saya berharap bangunan itu dapat dibaik pulih semula atau dibina baru kerana hampir 90 peratus musnah dalam kebakaran.
“Saya juga berharap ada pihak sudi membantu seterusnya 103 pelajar sekolah dapat meneruskan pengajian seperti biasa,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sabak Bernam Abdul Nasir Jalil berkata, api cepat merebak kerana sebahagian besar bangunan setingkat itu diperbuat daripada kayu, namun api dikawal dalam masa 15 minit.
Menurutnya, kerugian dianggarkan RM200,000 dan pihak bomba tidak menolak kemungkinan berlaku litar pintas di dalam bilik stor asrama itu yang menjadi punca kebakaran, namun siasatan lanjut dijalankan Unit Forensik Bomba Selangor.
Wakil Parlimen Sabak Bernam Nazam Azhari Md Yasin turut hadir ke lokasi kejadian serta menghulurkan bantuan segera kepada maahad terbabit.