loading...

Pertemuan Liverpool-United ‘Ibu Segala Aksi Bola Sepak’

LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berasakan pertemuan saingan Liga Europa antara pasukannya dengan Manchester United boleh dilabelkan sebagai perebutan gelaran ‘ibu kepada segala perlawanan bola sepak’.

 

Kedua-dua pasukan terbabit menjadi satu daripada pasukan yang paling dipenuhi tradisi, dan mereka adalah seteru utama dalam arena bola sepak, namun tidak pernah bertemu dalam pertandingan Eropah.

 

Ia bermakna pertemuan 16 terakhir di Anfield, di sini, awal pagi esok akan menjadi yang pertama, dan Klopp melihatnya sebagai perlawanan terbesar di dunia.

 

Hakikat itu disuarakannya walaupun sedar pertemuan mereka sekadar dalam pertandingan kedua tertinggi Eropah berbanding Liga Juara-Juara.

 

“Perlawanan seperti ini adalah ibu kepada segala perlawanan bola sepak. Itu yang anda mahu sejak muda.

 

“Perlawanan ini amat mudah, kerana ia begitu besar. Anda tidak perlu fikir mengenai tumpuan kerana anda benar-benar akan memberikan tumpuan sepenuhnya.

 

“Ia sangat besar. Saya tidak perlu membandingkan perlawanan. Jika anda bekerja di Dortmund, seperti saya, dan anda bermain menentang Schalke, ia tidak mustahil anda tidak akan bercakap mengenai perlawanan lain.

 

“Ia sama dengan perlawanan ini. Ia perlawanan yang sangat besar. Saya berharap ia tidak menjadi yang terbesar sepanjang karier Liverpool saya, tetapi ia amat penting.”

 

Pengurus Liverpool itu sudah biasa berdepan rakan sejawatannya di United Louis van Gaal, kerana mereka adalah seteru utama dalam Bundesliga sebelum ini.

 

Klopp menikmati beberapa keputusan baik ke atas Van Gaal ketika mengetuai Borussia Dortmund dengan pengendali dari Belanda itu pula bersama Bayern Munich.

 

Liverpool kalah dalam semua empat pertemuan sebelum ini menentang Manchester United, dan kekalahan kelima awal pagi esok akan membawa kepada rekod baharu kelab yang tidak diinginkan. – AFP

Previous
Next Post »
loading...