Alor Setar – Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) Negeri Kedah hari ini lumpuh apabila majoriti pimpinan negeri dan kawasan parlimen mengumumkan meletakkan jawatan secara beramai-ramai.
Menurut Yang Dipertua Perkasa Kedah, Datuk Mohd Yusuf Ismail ketika dihubungi SuaraTV berkata, keputusan itu diambil ekoran tindakan Datuk Ibrahim Ali selaku Presiden yang disifatkan telah tersasar dari matlamat asal penubuhannya.
“Kami berasa amat kecewa dan tidak boleh terima tindakan pimpinan atasan Perkasa yang bersekedudukan dengan parti perkauman DAP untuk mengulingkan kerajaan.
“Pada saya sebagai NGO yang ultra Melayu tindakan itu jelas melampaui batas sekaligus melanggar 7 teras asas perjuangan sebelum ini,” katanya kepada SuaraTV sebentar tadi.
Menurut Mohd Yusuf selain beliau, majoriti Ketua Wiranita, Wira Perkasa, Wirawati Perkasa, pimpinan negeri dan kawasan parlimen turut mengumumkan meletakkan jawatan.
“Bukan saya seorang tapi semua jawatankuasa peringat negeri seperti Wiranita, Wira Perkasa, Wirawati dan hampir kesemua ketua-ketua Perkasa Parlimen di negeri Kedah turut meletakkan jawatan malah ada dikalangan mereka yang turut mengunting kad keahlian Perkasa sebagai tanda portes.
“Apa yang paling kami kesali apabila Perkasa yang selama ini terkenal dengan kelantangan membidas semua tindakan DAP yang anti-Islam dan Melayu akhirnya akur dan menyokong perjuangan parti itu… malah ketika persidangan tahunan Perkasa baru-baru ini Presiden turut menghina pemimpin negara secara terbuka dihadapan wakil-wakil luar negara, pimpinan pembangkang yang hadir dan tindakan seperti itu tidak dapat kami terima.
“Malah memorandum bantahan yang kami hantar ketika mesyuarat bulanan YDP baru-baru ini turut ditolak oleh Datuk Ibrahim selaku Presiden tanpa sebarang alasan,” ujarnya lagi.
Mohd Yusuf turut menjelaskan pihaknya akan menghantar surat rasmi dalam masa terdekat bagi memaklumkan mengenai perkara tersebut.
Ibrahim Ali bagaimanapun gagal untuk dihubungi bagi mendapatkan maklumbalas berhubung tindakan itu. – SuaraTV