Penyanyi Noh Salleh, 32, terpaksa menyamar sebagai penuntut dari Malaysia demi melepasi pemeriksaan untuk masuk ke kem pelarian masyarakat Syria di Jordan ketika kunjungannya pada Julai tahun lalu.
Bercerita lanjut, vokalis kumpulan Hujan ini berkata, sejak awal pertama kali menjejakkan kaki ke bumi arab itu, dia sudah diingatkan oleh pengasas pasukan sukarelawan One Moment For Them iaitu Fatiha Shuib untuk tidak mendedahkan tujuan sebenar mereka sebaliknya disarankan berlagak seolah-olah sebagai pelajar dari Malaysia yang datang dan menuntut di negara berkenaan.
“Ketika sampai di lapangan terbang, memandangkan kami membawa banyak barang termasuklah peralatan dan bekalan untuk persekolahan, jadi Fatiha berpesan dan ingatkan agar tidak mendedahkan identiti, tentang tujuan kami dan mengelakkan menyebut beberapa perkataan terutama ketika di tempat pemeriksaan.
“Jadi apabila ditanya oleh pegawai pemeriksaan tersebut, saya beritahu yang saya adalah pelajar dari Malaysia. Apabila sebut pelajar, maka tidaklah banyak halangan. Kami terpaksalah menipu sunat demi membolehkan kami melepasi pemeriksaan dan pergi ke kawasan kem pelarian tersebut,” katanya pada sidang media One Moment For Them 2.0, bertempat di Restoran Hawaiian Cafe, Nu Sentral, pada Selasa.
Noh bersama isterinya Mizz Nina serta teman artis seperti Faizal Tahir, Aizat dan Mu’adz Dzulkefly menjayakan misi kemanusiaan One Moment For Them yang dicetuskan oleh gabungan kumpulan sukarelawan Fatiha Shuib and Friends dengan kerjasama Ikram for Syria Jordan bagi membantu masyarakat pelarian Syria terutama dari segi pendidikan untuk anak-anak pelarian tersebut.
Selain berkunjung ke kem pelarian, barisan artis ini turut mengadakan satu konsert amal di Jordan bagi mengutip dana dan disalur juga digunakan untuk membeli barangan keperluan juga keperluan pendidikan anak-anak pelarian di sana.
Dalam pada itu, Noh berkata dia tertarik menyertai misi tersebut kerana objektif One Moment For Them bukan saja dari segi memberikan sokongan moral tetapi yang lebih utama membantu kanak-kanak di sana mendapatkan pendidikan sekurang-kurangnya pendidikan asas.
“Selama berada di sana apa yang saya dapat lihat mengenai kehidupan masyarakat di sana sangat tragis.Jadi jika kita nak tolong mereka, apa yang paling utama mereka perlukan ialah pendidikan kerana ilmu dan pendidikan yang akan kekal hingga ke generasi mereka yang akan datang selain kita hulurkan bantuan seperti makanan juga sokongan moral.
“Selain apa yang penting sekarang ialah menyebarkan mesej kesedaran kepada seluruh masyarakat di luar sana tentang kehidupan pelarian-pelarian ini.
“Selama berada di sana boleh katakan sebilangan walaupun bangsa yang sama tetapi cara mereka memang sangat memetingkan diri sendiri. Gejala rasuah sangat berleluasa di sana. Bayangkan pelarian-pelarian terpaksa tinggal beramai-ramai di dalam kem-kem yang kecil. Lebih malang pihak polis akan datang dan minta wang, jika tidak diberi maka kem tersebut akan dirobohkan. Namun saya kagum dengan kekuatan semangat pelarian-pelarian tersebut dalam meneruskan kehidupan mereka walaupun serba kekurangan,” tuturnya.
Tambahnya lagi, dia juga berasa kagum dengan keberanian serta kesungguhan yang ditonjolkan Fatiha Shuib and Friends. Pasukan aktivis yang terdiri daripada kalangan warga mahasiswa Malaysia di Jordan itu telah membina sebuah sekolah untuk anak-anak pelarian di kawasan penempatan kem pelarian tersebut.
Difahamkan setakat ini sekolah tersebut mempunyai 70 orang pelajar dari tahun satu hingga tahun empat dan sijil sekolah tersebut diiktiraf dan melayakkan kanak-kanak tersebut melanjutkan pelajaran ke sekolah kerajaan di sana.
Selain itu pasukan aktivis ini juga memberi peluang pekerjaan kepada pelarian dengan memberikan modal untuk pembuatan jeruk yang diusahakan sendiri oleh sebilangan pelarian dan kemudian jeruk-jeruk tersebut akan dipasarkan dikedai-kedai seluruh Jordan. Selain pasukan aktivis ini juga sudah membuka sebuah ladang kambing dan mempunyai sebanyak enam ekor kambing setakat ini.
“Ketika di sana saya banyak menangis bukan sebab simpati dengan kehidupan pelarian tetapi saya kagum dengan usaha, kesungguhan, keberanian dan keikhlasan Fatiha dan kawan-kawannya dalam membantu pelarian-pelarian di sana. Apa yang mereka buat ni bagi saya memang sangat dahsyat. Ada yang sanggup lepas habis saja kelas, naik bas berjam-jam menuju ke kem dan mengajar kanak-kanak di sekolah itu.
“Saya sempat berbual dengan mereka dan rata-rata yang menggerakkan misi ini adalah mereka yang berusia antara 21-24 tahun. Dalam pada sedang melanjutkan pelajaran dan dalam usia yang muda mereka sudah mampu bina sekolah. Saya terfikir, zaman remaja saya, saya buat apa…?, tanyanya sendiri ketika bercerita.
Rentetan kejayaan misi yang pertama, Noh dan barisan artis sama bakal terlibat dengan One Moment For Them 2.0. Mereka akan menjayakan konsert amal yang kali ini bakal diadakan di Pusat Konvensyen Al-Azhar di Mesir pada 29 April depan
Misi kedua ini juga akan disertai penyanyi Hanis Soraya yang kebetulan sedang melanjutkan pelajarannya di Mesir.
Selain itu, kelima-lima artis berkenaan dijadualkan sekali lagi berkunjung ke kem pelarian tersebut dan melakukan beberapa aktiviti yang diaturkan oleh pihak Fatiha Shuib and Friends.