KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad disifatkan sebagai pengkhianat dengan menjalin kerjasama dengan musuh politik demi menjatuhkan pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.
Hal ini jelas selepas Dr Mahathir bersekongkol dengan Lim Kit Siang yang dianggapnya bapa kepada perkauman dan chauvinis ketika beliau berada dalam UMNO untuk sekian waktu yang lama.
Ahli UMNO lain yang turut sama menyertai Deklarasi Rakyat seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta Datuk Seri Shafie Apdal juga ibarat lupa bahawa akan bahawa DAP, PKR dan Amanah merupakan musuh politiknya.
Mengulas tindakan Dr Mahahtir, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Hanafi Mamat berkata, bekas Presiden UMNO selama puluhan tahun itu tidak wajar bertindak menentang parti yang didokonginya dahulu.
“Setiap pentadbiran ada kelemahan dan kekuatannya yang tersendiri. Pada pendapat saya Najib seorang pemimpin yang cukup cakna kepada rakyat.
“Bukan itu sahaja, beliau sentiasa memberikan respon kepada setiap teguran berkaitan dengan kelemahan dalam pentadbirannya,” katanya sambil menambah akan terus menyokong pentadbiran Perdana Menteri kini.
Drama politik Dr Mahathir memperlihatkan beliau kini sebagai mastermind manakala Muhyiddin sebagai pelakon tambahan seiring dengan pemimpin-pemimpin pembangkang lain digunakan sebagai penambah karakter dalam sesebuah drama soap opera ratusan episod.
Dan meniti setiap drama panjang ini, akan wujud karakter tersembunyi yang akan membuat penampilan besar lantas mengubah persepsi awal sesebuah cerita.
Dalam konteks ini, watak tersebut disandang oleh Penasihat DAP Lim Kit Siang yang membawa agendanya tersendiri.
UMNO terutama jentera penerangan harus memandang hal ini dengan serius sekiranya mahu terus kekal berkuasa.
Hal ini diburukkan lagi selepas pendedahan Ketua Penerangan UMNO baru, Tan Sri Annuar Musa yang melihat operasi penerangan UMNO berpangkalan di Menara Dato Onn Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebagai daif dan jauh ketinggalan.
Sebagai pendokong Najib, UMNO serta Barisan Nasional (BN) perlu segera mematahkan serangan Dr Mahathir serta mengekalkan DAP sebagai musuh politik.
Jangan sehingga akhirnya orang UMNO tidak tahu matahari naik turun dari mana.