KUALA LUMPUR – Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard menggesa Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menjelaskan tindakannya yang melantik ‘orang luar’ ke dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri pimpinannya.
Jawatan GLC itu sebelum ini diberikan kepada dua wakil rakyat PKR, namun ditarikbalik selepas mereka menyokong usul ADUN BN pada sidang DUN Pulau Pinang bersabit isu tebus guna tanah tambah laut negeri itu.
Guan Eng kemudiannya mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke untuk jawatan itu tanpa sebarang alasan.
“Melantik Anthony Loke sama seperti juga melantik Ahli Parlimen Negeri Sembilan menjadi lembaga pengarah dalam Selangor jadi benda itu kembali pada asalnya.
“Saya tengok tidak ada sesuatu yang baru selain daripada mengikut proses yang lama dan ia harus dijawab Ketua Menteri apa alasan dia melantik Loke atau sesiapa sahaja,” katanya sebagai merujuk kepada lantikan Ahli Parlimen Seremban dari DAP, Anthony Loke sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Bukit Bendera (PHC).
Beliau berkata, meskipun lantikan wakil rakyat negeri lain ke dalam GLC sesebuah negeri lain bukan amalan baru, namun jika ingin diperbetulkan ia perlu dilakukan pada keseluruhan sistem itu.
“Bagi saya jawatan GLC ini boleh lantik sesiapa sahaja dan jika nak betulkan ianya kena betulkan keseluruhan sistem.
“Lantikan politik di dalam entiti perniagaan berteraskan kerajaan negeri atau kerajaan pusat ini harus dibetulkan,” ujar beliau.
Ujarnya, penjelasan kepada isu itu perlu dilakukan memandangkan amalan tersebut turut dilakukan oleh kerajaan negeri Selangor.
“Malah jika kira agihan berdasarkan agihan parti DAP cuma ada satu lantikan sahaja dalam GLC Selangor.
“Jadi justeru itu saya katakan benda ini mudah kamu uarkan Pakatan Harapan ini lengkap dengan badan disiplin sebagainya bincang di dalam Pakatan Harapan tadbir dengan baik.
“Rakyat bukan hendak melihat kamu bertelagah benda seperti ini,” katanya lagi.
Isu lantikan Loke menjadi kontroversi setelah ia dibangkitkan kepimpinan Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, antaranya ADUN Pulau Betong, Datuk Farid Saad yang menyifatkan ianya amalan kronisme dalam Pakatan Harapan.
Loke ketika ditemui pemberita di sidang Dewan Rakyat hari ini enggan mengulas lanjut berhubung lantikan tersebut.
Ahad lalu, wakil rakyat dari Negeri Sembilan itu mempertahankan lantikannya ke dalam kerajaan negeri Pulau Pinang, menjelaskan beliau layak untuk menerima jawatan itu kerana mewakili DAP dalam mengetengahkan soal pelancongan dan kebudayaan di Parlimen.
Beberapa hari lalu, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari turut sama mempertahankan tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang dan menyifatkan pelantikan pemimpin dari luar sesebuah negeri bukanlah amalan baru.
Memberi contoh kerajaan PKR Selangor, Zairil berkata negeri itu juga melakukan perkara yang sama bagi meneroka pengalaman dari perspektif yang berbeza.
Loke dilantik ke jawatan itu oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng bagi mengisi kekosongan ekoran pemecatan ADUN Kebun Bunga Cheah Kah Ping (PKR) dari jawatan tersebut.
Media sebelum ini melaporkan, tindakan Guan Eng itu berikutan Kah Ping dan empat lagi ADUN DAP bersikap berkecuali dalam usul yang dikemukakan ADUN BN berkaitan isu tambak laut.