loading...

NAPIER PAK CHONG 1 – RUMPUT HIBRID TERBAIK UNTUK TERNAKAN

Oleh: Hazran Mohamed (hazranmohamed8787@gmail.com)

Rumput Napier atau lebih dikenali sebagai rumput Gajah oleh masyarakat setempat, antara pilihan para penternak haiwan di merata tempat khususnya di beberapa negara seperti India, Taiwan, Thailand, Indonesia, Vietnam dan juga Malaysia.

Jika sebelum ini, para penternak memilih pelbagai jenis rumput yang mempunyai kadar protein agak rendah sebagai makanan utama untuk haiwan ternakan mereka.

Tetapi kini penyelidik dan pakar pemakanan haiwan ternakan menyarankan rumput jenis Napier atau Rumput Gajah adalah yang terbaik diberikan kepada haiwan ternakan seperti lembu daging, lembu susu, kambing dan kambing susu.

Ini kerana rumput Napier selain tumbuh meliar di merata kawasan hutan kecil dan belukar tanpa mengira musim. Rumput Gajah itu juga mampu tumbuh sepanjang tahun.

Jika ditanam secara ladang, ianya senang tumbuh dan daya tumbuhnya cukup pesat, tidak bergantung kepada musim dan tidak memerlukan penjagaan.

Bagi spesis rumput Gajah yang dibiak secara saintifik, terdapat tiga variasi rumput Gajah yang paling terkenal dan terbaik untuk ternakan ruminan iaitu Napier Taiwan, Napier India dan Napier Pakchong 1 Thailand.

Daripada ketiga-tiganya, rumput hibrid Napier Pakchong 1 Thailand adalah yang terbaik setakat ini. Rumput tersebut mampu menghasilkan hingga 200% bekalan makanan haiwan kepada penternak berbanding rumput Napier lain.

Secara umumnya, rumput tersebut boleh ditanam 2-3 kali dalam setahun. Jika keluasan ladang berukuran satu hektar, rumput Gajah biasa hanya mampu membekalkan makanan untuk 18-20 ekor lembu sahaja. Berbanding rumput napier Pakchong 1 Thailand yang mampu memberi bekalan makanan untuk 30 ekor lembu.

Selain itu, rumput Napier Pakchong 1 Thailand mampu menghasilkan makanan untuk haiwan ternakan antara 450 hingga 600 metrik tan sehektar berbanding rumput Napier lain yang hanya mampu menghasilkan antara 275 hingga 350 metrik tan rumput sahaja.

Disebalik kisah rumput Napier Pakchong 1 Thailand itu sebenarnya adalah hasil penyelidikan seorang pakar pemakanan haiwan ternakan terkenal di negara Gajah Putih itu. Pakar yang dimaksudkan itu adalah Profesor Dr. Krailas Kiyothong yang bertugas di Jabatan Pembangunan Ternakan, Kementerian Pertanian Dan Koperasi Thailand.

Beliau ditemui dalam satu siri Jelajah Pak Chong oleh sekumpulan 60 ahli Kelab Generasi Transformasi Ruminan Malaysia (GTR) yang berkunjung ke Thailand baru-baru ini bagi mempelajari dan mendalami ilmu berkaitan pemakanan haiwan ternakan.

Dalam kunjungan ke ladang rumput Napier Pakchong 1 di daerah Pak Chong dalam wilayah Nakhon Ratchasima, Prof. Dr. Krailas memberi penerangan lanjut berkaitan kebaikan dan kelebihan variasi rumput Napier Pakchong 1 Thailand hasil penyelidikannya.

Kunjungan yang diketuai oleh Timbalan Presiden GTR, Nordin Mat itu ternyata membuka mata ahli-ahli GTR yang merupakan penternak ruminan dari seluruh negara.

Menurut Prof. Dr. Krailas, rumput Napier Pakcong 1 Thailand mempunyai jangka hayat yang lama iaitu lapan hingga Sembilan tahun. Rumput tersebut tumbuh dengan akar yang dalam selain kaya dengan nutrisi.

Ketika musim kering, rumput tersebut hanya perlu disiram sekali seminggu selain amat sesuai untuk dibuat makanan haiwan dalam bentuk silaj. Daunnya pula kurang berduri yang boleh menyebabkan kegatalan berbanding rumput Gajah lain.

“Kami sedia bekerjasama dengan ahli-ahli GTR untuk membawa masuk kaedah penanaman rumput Napier Pakchong 1 Thailand ke Malaysia kerana rumput itu telah terbukti berjaya meningkatkan pengeluaran lembu daging dan juga susu oleh para penternak di daerah Pak Chong ini sejak beberapa tahun lalu”, jelas beliau ketika menyampaikan taklimat kepada ahli-ahli GTR di pejabatnya baru-baru ini.

Prof. Dr. Krailas sebelum ini berjaya meyakinkan para penternak lembu dan kambing di daerah Pak Chong, Thailand untuk mengembangkan penanaman rumput hibrid Napier Pakchong 1 Thailand hasil penyelidikannya. Dari situlah juga nama rumput hibrid itu diberikan oleh Prof. Dr. Krailas dimana pusat penyelidikannya juga terletak di daerah Pak Chong.

Beliau menjelajah dari kampung ke kampung untuk menemui penternak dan mengagihkan sebatang keratan rumput Napier Pakchong 1 Thailand kepada setiap penternak.

Usaha Prof. Dr. Krailas itu ternyata berbaloi dan membuahkan hasil apabila penternak mula menanam rumput tersebut bermula secara kecil-kecilan dan akhirnya dalam bentuk ladang yang meluas.

Mereka sangat berpuas hati dengan hasilnya yang cepat tumbuh membiak selain sangat berkhasiat kepada haiwan ternakan. Para penternak seolah-olah mendapat nafas baru dengan adanya rumput hibrid Napier Pakchong 1 Thailand hasil penyelidikan Prof. Dr. Krailas.

Bagi Timbalan Presiden GTR, Nordin Mat, adalah menjadi hasrat GTR untuk mengembangkan lagi industri ternakan ruminan di Malaysia menerusi pelbagai kaedah termasuk mengadakan jalinan kerjasama dengan para penternak dan penyelidik dari negara-negara jiran seperti Thailand yang lebih maju di dalam industri tersebut.

Nordin yang berpengalaman luas lebih 15 tahun di dalam sektor penternakan, mempunyai hubungan baik dengan pelbagai pihak di luar negara termasuk di Australia, Indonesia, Thailand dan Pakistan.

Beliau berhubung secara terus dengan Prof. Dr. Krailas untuk meminta kerjasama dalam membantu ahli-ahli GTR mengembangkan dan memajukan lagi sektor ternakan yang diceburi.

“GTR bukan sekadar sebuah kelab yang mengumpul para penternak ruminan untuk bersosial, sebaliknya kami yang juga merupakan pengusaha dan penternak tegar, telah berikrar untuk memajukan lagi sektor yang diceburi itu atas dasar minat yang mendalam dan bukan hanya sebagai mata pencarian atau perniagaan kami semata-mata. Sebab itu kami sanggup mengeluarkan modal sendiri tanpa bantuan daripada kerajaan dan membabitkan diri dengan dunia penternakan haiwan ruminan sejak bertahun lamanya”, jelas Nordin kepada penulis selepas melawat ladang rumput di Pak Chong, Thailand baru-baru ini.

Previous
Next Post »
loading...