KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, kenyataan bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) bahawa beliau ingin terus kekal bersama Umno, sebelum ini sudah dijangka.
Beliau berkata, ahli parti harus mengalu-alukannya perkara itu yangmana ia disifatkan sebagai bukti bahawa parti Umno adalah satu-satunya wadah terbaik untuk perjuangan membela agama, bangsa dan negara.
“Keluar parti atau menyertai parti lain bukanlah satu ‘option’ yang bijak dalam konteks realiti politik negara hari ini.
“Sebagai ahli, kita berharap Tan Sri Muhyiddin Yassin berfikir semula tentang cara beliau bertindak dalam parti. Kita dalam Majlis Tertinggi (MT) ketahui beliau selama ini tidak banyak bersuara dalam MRAT, jauh sama sekali bersikap lantang,”katanya menerusi satu kenyataan, semalam.
Menurut Ketua Umno Ketereh itu lagi, beliau telah menjadi ahli MT sejak lebih dari 25 tahun lalu dan menyifatkan Muhyiddin bukanlah seorang yang banyak bersuara dalam MT.
“Ini jauh berbeza dari apa yang beliau cuba gambarkan sekarang. Sebab itulah ramai kalangan sahabat yang merasa hairan kenapa secara tiba-tiba kini beliau bersuara lantang diluar, termasuk mengungkit isu yang beliau sendiri tidak pernah membawanya dalam MT secara berterus terang.
“Di sinilah timbul tanggapan Muhyiddin kini berbuat demikian kerana beliau mempunyai agenda peribadinya sendiri,”katanya.
Annuar berkata, perkara tersebut menyebabkan Muhyiddin ditolak oleh hampir kesemua ahli MT dan bahagian-bahagian Umno.
“Dengan menyatakan beliau menegur dengan ikhlas saja tidak mencukupi, tetapi keikhlasan itu harus ternampak jelas dan mesti bersulamkan kebijaksanaan, hikmah dan hasnah,”katanya.
Menurutnya lagi, tindakan yang jelas mengikut rentak musuh dan nyata membawa keburukan.
Katanya, sudah tentu ia bakal ditolak oleh jutaan ahli Umno yang lain yang ingin melihat parti itu tidak menjadi mangsa musuh yang ingin memporak perandakannya.
“Tariklah rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak. Fikir-fikirkanlah supaya nampak sebagai pemimpin yang bijaksana.
“Menjatuhkan pemimpin untuk naik ke jawatan presiden bukan cara Umno walaupun mungkin Muhyiddin pernah berjaya berbuat demikian terhadap Pak Lah satu ketika dulu,”katanya.
Beliau berkata, tidak sukar untuk memahami cara yang dipilih Muhyiddin sebelum ini.
“Nilailah semula sementara peluang masih ada. Usah memilih untuk tidak membantu presiden.
“Jangan didorong keyakinan yang Datuk Seri Najib mahu dijatuhkan dan dengan itu beliau berpeluang menjadi PM bersama TPM pilihannya sendiri,”katanya.
Menurut Annuar lagi, kesilapan percaturan itu telah membawa padah apabila cara tersebut sama sekali ditolak oleh saf kepimpinan Umno semua peringkat samada nasional, negeri, bahagian dan cawangan.
Katanya, sebagai ahli parti, Muhyiddin kini mempunyai hak seperti mana termaktub dalam perlembagaan Umno.
“Kita percaya beliau akan guna hak itu sepenuhnya. Namun harus diingat, bersama hak sebagai ahli datangnya tanggungjawab ahli pada parti dan hak parti itu sendiri terhadap ahli termasuk tataetika dan disiplin yang wajib dipatuhi.
“Adalah penting bagi MT memastikan perkara ini dikuatkuasakan tanpa memilih pangkat dan kedudukan seperti Muhyiddin sendiri yang lakukan berkali-kali sebagai pengerusi jawatankuasa pengurusan.
“Sesiapa saja yang memilih menjadi ahli wajib mematuhi keputusan parti. Bersatu dalam parti, bersetia dengan pimpinan dan berkhidmat kepada agama, bangsa dan tanahair dengan jujur dan ikhlas, percaya pada Qada’ dan Qadar Allah s.w.t. Semoga kita semua diberi taufiq dan hidayah, bukan sekadar bertindak berani tetapi juga bertindak bijaksana,”akhirinya.-SuaraTV