loading...

KAFA Rayu Penyokong Kelantan Bersabar

KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) meminta penyokong setia Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQP TRW) terus memberi peluang kepada K. Devan untuk membuktikan kemampuannya sebagai pengendali pasukan.

 

Naib Presiden Kafa, Datuk Rosmadi Ismail berkata, tidak adil jika kekalahan 1-2 kepada Kedah dalam aksi Liga Super Sabtu lalu dijadikan penanda aras kepada kemampuan Devan untuk musim ini.

 

“Bagi saya tidak adil jika kekalahan kepada Kedah tempoh hari dijadikan sebagai ukuran. Lagipun ini kekalahan pertama beliau dalam persaingan liga musim ini.

 

“Jika berterusan kalah, baru boleh kita menekan butang panik dan membuat keputusan untuk kebaikan pasukan,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.

 

Kelantan, yang bersemangat baharu pada awal musim, masih belum menunjukkan mereka adalah pasukan yang perlu digeruni setakat ini sehinggakan penyokong The Red Warriors mula melahirkan kekecewaan mereka terhadap taktikal yang digunakan Devan.

 

Kekecewaan mereka semakin marak apabila skuad merah jambu itu tumpas kepada Kedah dalam aksi terakhir liga sebelum ini.

 

Dalam tiga perlawanan sebelum itu, Kelantan gagal menunjukkan prestasi meyakinkan. Mereka seri 0-0 dengan Perak dalam aksi pembukaan liga, menang 1-0 ke atas PDRM 1-0 dalam perlawanan kedua dan seri 2-2 dengan Sarawak sebelum tumbang kepada Kedah Selasa lalu.

 

Anak-anak buah Devan juga hanya menang 1-0 ke atas Universiti Kebangsaan Malaysia FC (UKM FC) dalam kempen Piala FA.

 

Spekulasi mengenai pertukaran ketua jurulatih pasukan itu mula bertiup kencang apabila Penasihat Kafa, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman meluahkan perasaan tidak berpuas hati dengan prestasi semasa Kelantan.

 

Malah beliau yang juga penaja utama Kelantan musim ini memberi bayangan bahawa pasukan itu memerlukan sentuhan magis untuk memperbaiki prestasi mereka. – Utusan

Previous
Next Post »
loading...