KUALA LUMPUR – Bekas pengendali Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B. Sathianathan tidak menolak kemungkinan untuk membawa isu tunggakan gajinya kepada Mahkamah Perusahaan sekiranya rundingan di antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan Persatuan Bolasepak Angkatan Tentera Malaysia (PBAT) gagal menemui jalan penyelesaian.
Jelas bekas pengendali skuad kebangsaan itu dia masih mahu menggunakan FAM sebagai saluran untuk menyelesaikan masalah tersebut bagaimanapun sekiranya badan induk bola sepak negara itu menemui jalan buntu dia perlu mencari alternatif lain.
“ATM sudah sedia maklum dengan arahan yang dikeluarkan oleh FAM supaya membayar gaji saya cuma mereka membayar hingga bulan Oktober 2015 sahaja manakala bulan November 2015 mereka masih belum bayar.
“Sudah tiga bulan tapi saya masih belum dengar apa-apa perkembangan mengenai perkara tersebut. Saya juga sudah menghantar surat kedua kepada FAM pada Januari mengatakan saya masih belum dapat bayaran tersebut.
“Saya boleh bawa kes ini kepada mahkamah tapi ini mungkin melanggar syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh FAM kerana kes-kes seperti ini perlu melalui saluran tertentu iaitu menerusi mereka.
“Bagaimanapun kalau saya sudah tidak dilayan sampai saya sendiri sudah bosan saya akan bawa perkara ini kepada mahkamah (Mahkamah Perusahaan) tapi saya mahu menyelesaikan masalah ini melalui FAM terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Bekas jurulatih Kelantan itu berkata dia masih lagi belum menerima tunggakan gajinya daripada PBAT walaupun bekas majikannya itu turut diarahkan oleh FAM untuk membayar sebahagian daripada jumlah yang tertunggak kepadanya.
Ditanya adakah dia kini serik untuk melatih mana-mana pasukan selepas apa yang menimpanya dia menafikan perkara tersebut kerana kerjaya jurulatih sudah menjadi darah dagingnya malah turut mengakui dia kini turut dirisik oleh pasukan dari Liga Super dan Liga Perdana.
“Tidak. Sebagai jurulatih saya memang gian nak melatih sebab duduk rumah pun (tidak) buat apa. Tapi kalau saya terima satu-satu jawatan saya akan berbincang dengan pihak pengurusan mengenai sasaran mereka secara realistik,” katanya. – Utusan