KUALA LUMPUR – Budaya memecat pemimpin tidak digalakkan dalam Islam sebaliknya jika tidak bersetuju dengan kepimpinan langkah memperbetulkannya perlu dibuat.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi ketika berbahas titah Yang di-Pertuan Agong di persidangan Dewan Rakyat di Parlimen hari ini berkata, ada sesetengah pemimpin mengamalkan kaedah berpolitik melampau sehingga meninggalkan akhlak dan perangai yang baik.
“Kita tidak boleh berhenti daripada politik kerana politik sebahagian daripada masyarakat, sebahagian daripada kehidupan manusia yang jadi masalahnya kita berpolitik melampau sehingga meninggalkan akhlak, meninggalkan perangai yang baik. Ini tidak elok.
“Saya tidak kata pada seorang dua pemimpin politik. Saya kata kepada semua, saya tujukan kepada semua,” katanya.
Dalam ucapan perbahasan itu, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang memetik ucapan sulung Saidina Abu Bakar ketika dipilih menjadi khalifah selepas Rasulullah SAW wafat.
Ucapan itu berbunyi: “Wahai tuan-tuan, saya telah dipilih menjadi pemimpin kamu, padahal saya bukanlah orang yang terbaik dalam kalangan kamu. Sekiranya saya berlaku baik tolonglah saya, sekiranya saya melakukan kesilapan perbetulkan saya, benar adalah amanah, bohong adalah khianat.
Menurut Abdul Hadi, di Malaysia juga kalau seseorang pemimpin itu melakukan kesilapan, ia tidak seharusnya dipecat, sebaliknya berpakat untuk memperbetulkannya.
“Budaya memecat pemimpin tidak digalakkan oleh Islam, (perlu) membetulkan pemimpin. Usaha ini kita kena sabar.
“Tengok Arab Spring, ia menjadi musim bunga yang tidak berbuah menyebabkan berlaku campur tangan asing dan menggugat keselamatan negara,” katanya.
Beliau berkata, walaupun tidak besetuju dengan kerajaan, mereka (pembangkang) harus bersabar.
Abdul Hadi memberi contoh, Pas menyertai arena politik negara ini sejak sebelum merdeka sehingga hari ini manakala parti lain yang ada kebanyakannya baru ditubuhkan sahaja.
“Kita sabar, kita (pernah) menang, kita kalah, kita rebah, kita bangun hingga tak ada kerusi langsung, kita tak kisah. Yang penting ialah jangan mengacau rakyat. Ini yang perlu kita jaga betul-betul,” tegas beliau.
Pada akhir perbahasan itu, beliau menjelaskan ucapannya tidak mengampu sesiapa.
“(Kalau ada) orang nak sokong, sokong, tidak mahu sokong, sudah,” katanya yang diakhirnya dengan tepukan para Ahli Parlimen.
Bagaimanapun, ramai beranggapan kenyataan Hadi itu ada kaitan dengan gerakan Deklarasi Selamatkan Malaysia yang diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama pemimpin pembangkang dari Pakatan Harapan untuk menurunkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. – MalaysiaGazette