KUALA LUMPUR — Mendapat jolokan “raja laporan polis”, Abdul Rani Kulup Abdullah kini muncul menerusi filem “Kipidapp! Selamatkan Hari Jadi” di pawagam pada Khamis depan.
Popular dengan slogannya “kipidap” atau versi bahasa pasar “keep it up”, Rani berkata babak lakonannya tidak begitu mencabar, namun beliau sukar menghafal skrip.
“Pada saya babak yang ada itu tidak ada yang mencabar. Biasa bagi saya. Ia mudah saja.
Tiada masalah bagi saya untuk melakonkan apa yang diarahkan. Itu hal kecil.
“Cuma satu, saya malas hafal dialog,” katanya, mesra dengan panggilan Ayahanda Arka, menerusi video di sebalik tabir filem berkenaan yang dimuat di YouTube baru-baru ini.
Filem itu, yang memulakan penggambaran Ogos tahun lalu, membariskan Hafreez Adam, Atikah Suhaime, Kartina Aziz, Vicha Saywho, Julia Farhana Marin dan Aizat Hassan.
Rani membawa watak Tok Daddy yang dipadankan dengan Nanny Rockie, lakonan Kartina.
“Kipidapp! Selamatkan Hari Jadi” diterbitkan oleh MIG Pictures Sdn Bhd dan diarahkan oleh pengarah tidak asing lagi, Eyra Rahman.
Eyra berkata filem komedi pertamanya itu menampilkan kelainan apabila menyelitkan beberapa elemen, selain cabaran mengarah pelakon kanak-kanak.
“Saya nak selitkan antaranya komedi romantik, kanak-kanak dan kekeluargaan,” katanya, yang pernah mengarahkan filem seram seperti “Gudang Kubur”, “Pengantin Malam” dan “Badi”.
Filem terbaru terbitan David Teo itu mengisahkan Sapura, watak yang dibawa Atikah, membawa diri ke kampung selepas kecewa dalam percintaan bersama Eddie, watak yang dibawa Hafreez.
Semasa di kampung, Sapura bertemu kembali dengan kawan lamanya, Hisham, lakonan Aizat Hassan.
Untuk mengetahui apakah kaitan hubungan percintaan mereka dengan Tok Daddy dan Nanny Rockie, saksikan “Kipidapp! Selamatkan Hari Jadi” minggu depan. – MalayMail