KOTA BHARU — Naib presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyanggah kritikan Datuk Husam Musa semalam, sambil mencabar bekas naib presiden parti itu bertanding jawatan presiden menggantikan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Pemimpin yang juga dikenali sebagai Nik Amar itu menyindir bahawa Husam “paling layak” merebut jawatan tersebut, dan sepatutnya mencabar Abdul Hadi jika beliau berpendapat bahawa pucuk pimpinan parti itu patut diperbaharui.
“Kenapa tidak Husam sahaja jadi Presiden? Kenapa dia tidak bertanding? Sepatutnya hari itu, dia yang bertanding sebab dia yang paling layak daripada semua [calon] dalam PAS,” kata timbalan menteri besar Kelantan itu dalam laporan Utusan Malaysia.
Baru-baru ini Husam mencadangkan agar timbalan presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengambil alih tampuk kepimpinan, sambil mencadangkan Abdul Hadi menjadi mursyidul am atau timbalan mursyidul am.
Menurutnya, langkah tersebut pernah berlaku pada 1989 apabila bekas presiden Yusof Rawa dilantik menjadi mursyidul am, dan jawatan presiden dipangku kepada Datuk Fadzil Mohd Noor.
Husam pada bulan lepas telah dirujuk kepada jawatankuasa disiplin dan tatatertib parti setelah dituduh mengkritik PAS dan presiden Abdul Hadi. – MalayMail