KUALA TERENGGANU – Selepas gagal mengusulkan undi tidak percaya terhadap menteri besar Terengganu semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal Datuk Seri Ahmad Said hari ini dilaporkan tidak hadir pada persidangan DUN.
Bagaimanapun, menurut portal mStar, Ahmad Said tetap dengan hasratnya menyingkirkan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman sebagai menteri besar dan usaha itu dijangka akan diteruskan 14 Adun PAS dan seorang wakil rakyat PKR.
Semalam, DUN Terengganu menolak usul undi tidak percaya terhadap menteri besar yang dikemukakan Ahmad Said di mana Speaker Zubir Embong berkata beliau tidak mengikut peraturan ketika mencadangkan usul itu.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, Ahmad Said menegaskan semalam walaupun usulnya ditolak, beliau tidak akan keluar daripada Umno.
“Jika saya ini tidak baik, saya akan lakukan awal-awal dulu. Mudah untuk saya tinggalkan parti serta ia akan menyaksikan perubahan parti pemerintah.
“Namun, apa yang kami mahu ialah perubahan menteri besar. Ia bukan mengenai memilih PAS atau mana-mana parti pembangkang lain untuk memerintah negeri ini,” beliau dipetik berkata. – M.Insider