NEW YORK – Laman sosial Facebook bakal menjadi ‘perkuburan terbesar alam digital’ menjelang hujung abad ini, selepas syarikat rangkaian sosial itu enggan memadamkan profil pengguna yang telah meninggal dunia.
Menurut pakar statistik dari Universiti Massachusetts, Hachem Sadikki, Facebook mempunyai kira-kira 1.5 bilion pengguna di seluruh dunia dan jumlah tersebut dijangka bertambah dengan kadar pertumbuhan yang perlahan tidak lama lagi.
Jelasnya, di Amerika Syarikat (AS) sahaja, seramai 70 peratus daripada populasi orang dewasa telah menjadi pengguna Facebook dan lebih 50 peratus golongan sama menggunakan media sosial tersebut.
“Saya menjangkakan Facebook akan mengekalkan polisi untuk mengendalikan akaun pengguna yang telah meninggal dunia.
“Disebabkan polisi tersebut, rangkaian sosial berkenaan akan menjadi perkuburan terbesar alam digital menjelang 2098,” ujarnya seperti dilaporkan portal Mail Online.
Buat masa ini, apabila seorang pengguna meninggal dunia, Facebook tidak akan memadamkan akaun pengguna terbabit, sebaliknya menjadikan profil itu sebagai akaun kenangan.
Dalam pada itu, syarikat perancangan warisan dalam talian, Digital Beyond melaporkan seramai 970,000 pengguna Facebook dijangka meninggal dunia pada tahun ini di seluruh dunia berbanding jumlah 85,968 pengguna pada 2010 dan 580,000 pengguna pada 2012.
Satu-satunya cara untuk memadamkan akaun pengguna yang telah mati ialah jika seseorang lain mempunyai kata laluan untuk membuka dan menutup akaun berkenaan secara manual. – Utusan