loading...

Deklarasi Rakyat Kesilapan Terbesar Tun Mahathir Kata Penganalisis

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad bukan hanya ‘mencemarkan’ karier politiknya apabila berbaik dengan pembangkang, bahkan telah melakukan kesilapan besar yang merugikan kaum Melayu, kata penganalisis Politik, Datuk Dr Firdaus Abdullah.

 

Beliau yang merujuk kepada kerjasama tokoh itu dengan DAP berkata, tindakan ‘berbaik’ dengan parti dominasi Cina itu pasti membawa lebih banyak kesan buruk pada masa hadapan kelak.

 

“Pada saya, untuk bersekongkol dengan pembangkang, apatah lagi DAP terutama apa yang dilakukan Tun M adalah kesilapan besar.

 

“Semua orang tahu sepanjang 35 tahun kita mengikuti tingkah laku DAP dan Kit Siang, tidak ada satu pun yang menguntungkan Melayu. Sekarang apabila bersekongkol dengan mereka, akan lebih banyak buruk dari baiknya,” tegasnya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.

 

Firdaus mengulas ‘keuntungan’ yang diperolehi Mahathir selepas mantan perdana menteri itu bersatu dengan Pakatan Harapan demi menjatuhkan kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.

 

Jumaat lalu, Mahathir dengan pimpinan pembangkang, NGO, aktivis dan masyarakat sivil bekerjasama dalam pergerakan ‘Selamatkan Malaysia’ dan menandatangani Deklarasi Rakyat.

 

Namun terkini, gabungan pembangkang itu melakukan kejutan apabila mahu menjadikan pembebasan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai teras perjuangan Deklarasi Rakyat.

 

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika mengumumkan perkara itu selepas mengadakan mesyuarat Pakatan Harapan berkata penglibatan Mahathir dalam deklarasi itu menunjukkan beliau bersetuju dengan agenda pembangkang yang mahu institusi tertentu yang ‘memangsakan’ Anwar dirombak.

 

“Mendatangkan satu demi satu masalah kepada Mahathir,” katanya ringkas merujuk kepada agenda terbaru pembangkang itu.

 

Sementara itu Firdaus percaya matlamat Deklarasi Rakyat akan menemui kegagalan kerana hanya melalui undi tidak percaya di Parlimen sahaja mampu menumbangkan Najib, bukannya dengan gerakan desakan sebegitu.

 

“Kecuali sebahagian besar ahli-ahli parlimen daripada Umno-BN menyokong usul menjatuhkan Najib, tapi saya percaya ia tidak akan berlaku,” tegasnya lagi.

 

Dokumen Deklarasi Rakyat ditandatangani 58 pemimpin yang terdiri daripada pembangkang, aktivis dan bekas wartawan banyak mengitar semula tuduhan-tuduhan Mahathir terhadap Najib mengenai hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan sumbangan RM2.6 bilion.

Previous
Next Post »
loading...