KUALA LUMPUR – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan hari ini memaklumkan kedua-dua penganjur Himpunan Bersih dan Baju Merah masih belum membuat bayaran kepada Alam Flora Sdn. Bhd.
Menterinya, Datuk Abdul Rahman Dahlan memaklumkan bayaran untuk kos pembersihan bagi Himpunan Bersih adalah RM64,955, manakala Himpunan Merah pula berjumlah RM38,214.70.
“Selaras dengan itu, berdasarkan maklumat yang diterima, syarikat Alam Flora Sdn. Bhd. telah mengambil tindakan dnegan menghantar invois tuntutan bayaran bertarikh 1 Septemberi 2015 kepada Penganjur Himpunan Bersih dan Penganjur Himpunan Baju Merah pada 30 September 2015.
“Justeru itu, sebarang tindakan susulan berkenaan tuntutan kos bayaran pembersihan kepada pihak penganjur akan dibuat oleh pihak syarikat Alam Flora Sdn. Bhd. memandangkan pihak konsesi tersebut mempunyai hak untuk membuat tuntutan ini dan selaku pihak yang memberikan perkhidmatan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.
Abdul Rahman menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong yang meminta kementerian berkenaan menyatakan adakah penganjur bagi kedua-dua himpunan itu telah membayar kos pembersihan da tindakan yang akan diambil.
Himpunan Bersih 4.0 diadakan pada 29 dan 30 Ogos tahun lalu, manakala Himpunan Baju Merah diadakan pada 16 September 2015.
Kedua-dua himpunan berkenaan mengakibatkan beberapa lokasi di ibu kota dikotori dengan sampah, namun Abdul Rahman pernah mengakui himpunan baju Merah tidak ‘sekotor’ himpunan Bersih.