loading...

YouTube Lancar Ciri ‘Offline’ Muat Turun Video

KUALA LUMPUR – Menonton video di YouTube sememangnya menyeronokkan, namun memikirkan bebanan data yang akan ditanggung kelak dan kekangan memuat turun secara lancar di kawasan terpencil, sering mematikan ‘mood’ pengguna.

 

Memahami kekangan itu, YouTube melancarkan ciri ‘offline’ untuk YouTube di Malaysia sebagai sebahagian inisiatif menjadikan platform perkongsian video lebih mudah dinikmati menerusi peranti mudah alih pengguna.

 

Hasilnya, pengguna kini boleh memuat turun video YouTube di mana-mana kemudahan yang menyediakan liputan wi-fi atau ketika berada di kawasan liputan Internet berkelajuan tinggi.

 

Alternatif ini pastinya menjimatkan masa dan wang pengguna, bahkan video yang dimuat turun boleh ditonton secara ‘offline’ berulang kali selama 48 jam walaupun berada di luar kawasan liputan telekomunikasi, dalam pesawat atau ketika di luar negara.

 

Hanya video yang ditawarkan ciri ‘offline’ boleh disimpan dan pengguna perlu menyentuh ikon muat turun pada kiri video terbabit untuk memuat turun serta menambah video ‘offline’ masing-masing.

 

Kemudahan yang turut dilancarkan di 80 negara sedunia, termasuk Indonesia, Filipina dan Vietnam itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan YouTube menyokong ciri ‘offline’ pada Android dan iOS.

 

Naib Presiden Kejuruteraan di YouTube, John Harding, berkata, ciri ‘offline’ terbaharu YouTube itu diharapkan dapat membantu pengguna mengatasi masalah data, kesukaran mendapatkan muat turun yang pantas dan kos.

 

“Pengguna YouTube akhirnya kini dapat menikmati tontonan yang lebih lancar dan tanpa gangguan. “Kebanyakan kandungan YouTube popular di Malaysia kini sedia untuk pengguna tonton secara ‘offline’ daripada video jenaka kepada ‘unboxing’ produk,” katanya.-BH

Previous
Next Post »
loading...