KUALA LUMPUR — Wacana ilmu yang bakal menampilkan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin bersama presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia Zamihan Mat Zin pada malam esok dibatalkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim memaklumkan perkara itu di laman Facebook peribadinya tengah malam tadi.
“Tanpa menceritakan apa yang berlaku, maka saya ingin umumkan bahawa wacana tersebut dibatalkan.
“Semua jemputan dan lain-lain urusan tidak diteruskan. Saya memohon maaf di atas apa yang berlaku,” katanya menerusi laman sosial itu.
Bagaimanapun, Shahidan berkata Asri dan Zamihan tetap akan berdiskusi esok namun dalam skala kecil dan tertutup.
Katanya, Asri dan wakil Zamihan sudah menyatakan persetujuan untuk menghadiri diskusi tertutup itu.
“Saya menyeru kepada semua pihak agar tidak membiarkan apa-apa isu berlarutan dengan persepsi.
“Tetapi paparkanlah fakta serta merta untuk mengelakkan buruk sangka dan fitnah daripada berleluasa,” kata ahli Parlimen Arau.
Shahidan sebelum ini memaklumkan diskusi ilmiah itu akan diadakan esok di Dewan B1 Jabatan Perdana Menteri pukul 9 malam dengan tajuk “Ekstremisme Agama di Malaysia: Satu Diskusi”.
“Saya akan jemput semua pihak yang berwajib. Zamihan dan Asri boleh menjemput 50 orang tiap-tiap seorang. Ramai yang memohon untuk hadir bersama.
“Saya harap tidak ada mana-mana pihak yang cuba menghentikan wacana ini. Semoga Allah memberkati,” kata Shahidan dalam satu catatan di Facebook minggu lepas.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini menasihatkan diskusi ilmu itu diadakan secara tertutup bagi mengelak perbalahan sesama umat Islam.
Wacana itu asalnya dirancang 10 Februari, namun Zamihan tidak dapat hadir kerana terpaksa menghadiri program di penjara Machang, Kelantan. Beliau juga mendakwa tidak dimaklumkan tarikh tersebut. – MalayMail