loading...

Aiman raih gelaran featherweight

UALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) — Peninju profesional Malaysia, Aiman Abu Bakar yang meraih gelaran di laman sendiri hari ini, berazam mahu mengibarkan Jalur Gemilang di gelanggang utama tinju dunia di Las Vegas.

Peninju kelahiran Negeri Sembilan berusia 26 tahun itu, yang bertarung buat pertama kali di Malaysia, selepas berkelana mengembangkan karier tinjunya di Filipina selama empat tahun, menumbangkan peninju Indonesia, Abdi pada pusingan keempat kategori featherweight, yang diadakan sebagai acara sampingan ‘Fight of Champions’ antara legenda tinju Filipina Manny Pacquiao dan Lucas Matthysse di Axiata Arena, hari ini.

Selepas membuktikan kemampuannya di hadapan peminat tempatan dengan melebarkan rekod kemenangan 8-0 dalam kariernya (dengan tiga ‘knock-out) hari ini, matlamat Aiman seterusnya adalah bertarung di Las Vegas, disifatkan venue paling berprestij bagi acara tinju dunia.

“Saya sangat gembira kerana segala kerja keras dan pengorbanan membuahkan hasil di hadapan peminat Malaysia. Pertarungan ini batu loncatan bagi saya beraksi di pentas lebih besar dan baik pada masa hadapan. Saya mahu membuktikan kepada peminat Malaysia keupayaan saya dan beraksi di Las Vegas selepas ini.

“Sudah pasti dengan pencapaian ini meletakkan saya di kedudukan yang baik beraksi di sana. Saya perlu terus berusaha keras dalam tempoh beberapa bulan akan datang. Saya akan kibarkan Jalur Gemilang di Las Vegas,” katanya pada sidang media selepas pertarungan tersebut, hari ini
– BERNAMA

Previous
Next Post »
loading...