KUALA LUMPUR: Dalam usaha menyelamatkan ekonomi, pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat mengambil pendirian tegas terhadap China dan pelbagai projeknya di Malaysia.
Bagaimanapun ia bukanlah satu-satunya lapangan yang memerlukan Malaysia berdepan dengan China.
Beberapa tahun kebelakangan, kuasa ekonomi dunia itu telah meningkatkan tuntutan terhadap Laut China Selatan termasuk wilayah yang didakwa Malaysia sebagai miliknya.
Namun perdana menteri percaya China tidak akan menjadikan pertikaian wilayah kepada pendudukan tentera, dan begitu juga Malaysia yang menurutnya tidak akan bertindak balas secara berseteru.
“Kita tak boleh berperang dengan mereka. Mereka lebih kuat, dan kita tak boleh lawan mereka, (jadi) bagaimana kita boleh mendapat manfaat daripada kekayaan dan kekuatan mereka?
“Perkara itulah yang kita sdang lihat sekarang,” katanya ketika wawancara bersama CNN.
Dalam usaha meredakan ketegangan di Laut China Selatan, kabinet Mahathir menggesa kepada usaha rentas-sempadan untuk memastikan tiada kapal perang berada di kawasan itu.
Berhubung ketegangan antara China dengan Amerika Syarikat dalam soal perdagangan pula, Mahathir berkata perang perdagangan seperti yang dinyatakan Presiden Donald Trump tidak akan memberi manfaat kepada sesiapa.
“Amerika Syarikat akan kalah, China akan kalah, seluruh dunia akan kalah. Perang dan perang perdagangan (tidak) selesaikan apa-apa,” katanya lagi.
Terdahulu Malaysiakini melaporkan Mahathir dijangka mengadakan lawatan ke China pada pertengahan bulan depan.
Lawatan itu mungkin selepas kunjungan Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ke Beijing, bagi menyelesaikan beberapa perkara berhubung projek mega berkaitan China di Malaysia, seperti Landasan Berkembar Pantai Timur (ECRL), yang telah ditangguhkan kerajaan.