loading...

Mobile Legends :AirAsia Saiyan tarik diri tanda protes

Anda yang minat dengan e-SUkan Mobile Legends pasti mengetahui tentang berita ini. Tentang isu penarikan diri pasukan wakil dari Malaysia, AirAsia Saiyan yang mengambil keputusan untuk menarik diri selepas layak ke pusingan separuh akhir semalam.
Menerusi kenyataan pada pagi ini, AirAsia Saiyan berkata tindakan menarik diri itu adalah sebagai langkah protes terhadap tindakan penganjur kejohanan tersebut iaitu RevivaLTV.

“RevivaLTV menarik balik keputusan mereka untuk memberikan slot separuh akhir kepada AirAsia Saiyan selepas mendapat bantahan keras daripada pasukan Aerowolf Pro Team.

“Mereka meminta kami bermain satu perlawanan sebelum ke slot separuh akhir.

“Kami dengan pendirian teguh, percaya bahawa slot separuh akhir MSC adalah milik kami berdasarkan kontrak yang telah ditandatangani antara pihak kami dan pihak RevivalTV pada 24 Julai lalu,” kata AirAsia Saiyan.

Menurut organisasi e-sukan tersebut, tindakan menolak keputusan pihak penganjur itu untuk melakukan perlawanan semula menentang Aerowolf Pro Team itu adalah demi menjaga nama dan maruah AirAsia Saiyan.
AirAsia Saiyan juga mendakwa kesalahan yang dilakukan RevivaLTV tidak sepatutnya menjejaskan integriti kejohanan ini terutama apabila pengumuman pasukan itu layak ke separuh akhir telah diputuskan pada pukul 11 malam semalam.

“Selepas jam 11 malam itu, terdapat lagi satu pertemuan dengan RevivaLTV, penerbit permainan video ini Moonton dan Aerowolf Pro Team di lobi hotel kami pada jam 1 pagi.

“Pihak penganjur menjelaskan bahawa pasukan Aerowolf telah menandatangani kontrak yang berbeza dengan kami pada 3 Julai lalu semasa sidang media MSC 2018.

“Kontrak Aerowolf adalah dalam bahasa Indonesia dan mereka juga menunjukkan buku peraturan pertandingan yang baru yang ditandatangani oleh pasukan Aerowolf dan RevivalTV,” tambah AirAsia Saiyan.

Pasukan itu juga mendakwa terdapat dua kontrak berbeza antara pasukan yang terlibat dalam kejohanan MSC dan bagi menyelesaikan isu tersebut, pihak penganjur mencadangkan supaya mengadakan satu perlawanan semula antara AirAsia Saiyan dan Aerowolf Pro Team untuk slot separuh akhir.

Jika AirAsia menolak cadangan tersebut, mereka akan ‘disingkirkan’ daripada sertai MSC.

Ambil tindakan undang-undang

Selepas mengambil keputusan untuk menarik diri daripada MSC, AirAsia Saiyan turut bertegas untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap RevivaLTV.

“Sebagai wakil Malaysia di MSC, kami bersependapat bahawa integriti pertandingan amat penting untuk pembangunan e-sukan di Asia Tenggara, dan ianya bukanlah sesuatu yang kami boleh bertolak ansur dua kali, dalam dua hari pertandingan MSC ini.

“Kami juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak RevivalTV kerana kontrak kami yang ditandatangani di antara pihak AirAsia Saiyan dan RevivaLTV.

“Kami kecewa, tetapi kami percaya bahawa ini adalah keputusan yang betul demi pembangunan e-sukan di masa depan. Sekali lagi, kami ingin memohon maaf kepada penyokong-penyokong ASYN dan juga rakyat Malaysia kerana gagal mengibarkan bendera Malaysia pada hari ketiga MSC,” kata AirAsia Saiyan.
Sebelum ini, AirAsia Saiyan turut berdepan dengan masa teknikal pada hari pertama kejohanan dan keputusan awal Moontan bagi menyelesaikan masalah tersebut adalah dengan mengadakan perlawanan semula dengan Aerowolf Pro Team.

Bagaimana pun, Moonton dilihat menarik balik keputusan untuk mengadakan perlawanan semula tersebut.
Kejohanan MSC yang berlangsung sejak 27 Julai lalu disertai 10 pasukan terbaik Asia Tenggara dan menawarkan hadiah wang terkumpul melebihi RM400,000.

AirAsia Saiyan merupakan wakil tunggal daripada Malaysia dan terdiri daripada enam anak muda berbakat besar iaitu Ahmad Fuad ‘Fredo’ Razali Andi Alfian ‘Gripex’ Firman, Herwin ‘Rush’ Baharuddin, Abdul Wandi, ‘Logan’ Abdul Kadir, Sofian ‘Penjahat’ Sultan dan Mohd Faris ‘Soloz’ Zakaria

MSC yang memasuki edisi kedua tahun ini, dilihat sebagai salah sebuah kejohanan terbesar e-sukan mudah alih di rantau ini.

Sumber :-Astro Awani

Ligakampung memang tak berapa pandai dalam e-SUkan ni tapi ucap syabas terhadap keberanian skuad AirAsia Saiyan yang tetap dengan pendirian. Semoga mampu berjaya dalam kejohanan lain.
Kepada yang nak tahu isu lanjut boleh layari facebook page AirAsia Saiyan ni

Previous
Next Post »
loading...