loading...

PRK Sungai Kandis Platform Protes Rakyat – Ismail Sabri

SHAH ALAM: Keputusan Barisan Nasional (BN) bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis bertujuan memberi landasan atau platform untuk rakyat menyuarakan protes kepada kerajaan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan untuk bertanding itu dibuat walaupun ada sesetengah pihak berpendapat BN seharusnya tidak meletakkan calon dalam PRK itu.

“Rakyat tidak berpuas hati kerana kegagalan kerajaan menunaikan janji. Pengundi muda di Sungai Kandis, kena ingat isu PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) tidak selesai.

“Kita menyuarakan dalam Facebook, itu saja medium kita. Dengan kita bertanding, kita memberi ruang kepada protes rakyat untuk terjemahkannya kepada undi.

“Peluang terbaik untuk pengundi Sungai Kandis menunjukkan protes mereka terhadap kerajaan melalui undi,” katanya pada program Diskusi N49: Calon Suara Rakyat anjuran Penerangan UMNO Malaysia melalui Facebook BN malam ini.

Selain Ismail, turut menjadi ahli panel diskusi itu adalah calon BN pada PRK Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam manakala Tun Faisal Ismail Aziz sebagai moderator.

Ismail berkata, tempoh lima tahun untuk memberikan isyarat kepada Kerajaan Persekutuan masih lama lagi.

Justeru, katanya, pengundi di Sungai Kandis perlu memberi isyarat itu kepada Kerajaan Persekutuan bahawa rakyat tidak akan mengundi kerajaan jika mereka gagal menunaikan janji.

Katanya, keputusan di Sungai Kandis itu kelak akan memberikan tekanan kepada kerajaan untuk menunaikan janji.

“Jika rakyat mahu memberikan isyarat, pastikan Datuk Lokman menang. Kalau kita menang, kita memberikan isyarat kepada kerajaan rakyat tidak boleh bersabar lagi dengan apa yang berlaku.

“Gunalah 4 Ogos ini untuk menunjukkan perasaan sebenar mereka melalui kertas undi. Menangnya BN di Sungai Kandis, kita percaya akan berlaku perubahan dari segi menunaikan janji.

“Kalahnya kita, ia memberi isyarat kerajaan boleh buat apa saja,” katanya.

Pada masa sama, Ismail berkata, penyertaan BN dalam PRK Sungai Kandis juga menjadi ujian kepada hubungan parti itu dengan PAS.

Katanya, apabila PAS tidak bertanding, ia menunjukkan kedua-dua parti sudah berjaya melepasi ujian dan banyak lagi perkara yang boleh dilakukan di masa hadapan.

Previous
Next Post »
loading...