loading...

Amirul dikecam gara-gara ‘bendera terbalik’

SKUAD bawah 16 tahun negara (B-16) perlu bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan termasuk provokasi penyokong tuan rumah di Kejohanan AFF di Surabaya, Indonesia berikutan insiden bendera terbalik membabitkan pemain negara Amirul Ashrafiq Hanifah.

Amirul dituduh menghina bendera Indonesia menerusi beberapa laporan media negara jiran itu apabila menggunakan bendera terbalik dalam Instagram Story miliknya ketika membuat ucapan ringkas sebelum berlepas ke Surabaya semalam.

Bagaimanapun, Pengarah Kanan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) Safirul Azli Abu Bakar menjelaskan kesilapan itu adalah sesuatu yang tidak disengajakan.

“Isu itu sengaja diperbesarkan, dia (Amirul) hanya letak di IG (Instagram) dengan ayat membawa cabaran Malaysia di Indonesia, tapi tersilap letak emoji (gambar) bendera Indonesia. Dia letak bendera Poland,” katanya kepada Sukan NSTP.

Perkara ini jelas tidak disenangi oleh media Indonesia berikutan isu bendera Indonesia terbalik pernah berlaku ketika Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Malah isu ini mencetuskan kebimbangan apatah lagi dengan apa yang berlaku ketika pemain B-19 negara diserang oleh penyokong Indonesia dengan baling batu dan botol selepas aksi separuh akhir Kejohanan AFF juga di Surabaya pada 12 Julai lalu.

Pada perlawanan itu skuad kendalian Bojan Hodak menang menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 selepas terikat 1-1 dalam aksi sebenar sebelum merangkul kejuaraan dengan menewaskan Myanmar 4-3 di pentas final.

Tidak mahu memanaskan lagi keadaan serta bimbang pemain hilang fokus dengan isu terbaru ini, skuad B-16 kendalian Raja Azlan Shah Raja Sho’ib dinasihatkan supaya tidak aktif di media sosial.

“Saya sudah meningatkan kepada semua jurulatih tentang peraturan senyap di media sosial ketika menghadapi kejohanan. Fokus 110 dalam padang walaupun pemain tersebut tidak ada niat buruk dan sudah memadam ‘posting’ berkenaan,” kata Safirul.

Skuad negara bagaimanapun tidak bersama Indonesia di peringkat awal apabila diundi bertemu Thailand, Brunei, Singapura dan Laos dalam Kumpulan B bermula esok.

Bagaimanapun Malaysia juara 2013 yang dianggap antara pasukan pilihan kali ini berdepan prospek menentang Indonesia di peringkat seterusnya.

Sumber :-HMetro

Ligakampung berharap isu ini tidak berpanjangan. Ini mungkin kesilapan yang tidak disengajakan dan sekarang ni para pemain perlu elakkan terlalu ghairah dalam media sosial. Macam-macam boleh berlaku.

Previous
Next Post »
loading...