KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman telah bertemu dengan Peguam Negara Tommy Thomas hari ini bagi membincangkan menurunkan usia layak mengundi kepada 18 tahun.
Dalam suatu kenyataan hari ini, beliau berkata ia suatu pertemuan yang bernas dan berharap dapat membentangkan pindaan undang-undang berkaitan kepada kabinet dan parlimen tidak lama lagi.
Menurut Syed Saddiq perubahan ini akan menggalakkan penyertaan golongan anak muda dalam pembuatan dasar.
“Ini bermakna ahli politik dari semua pihak harus berjuang untuk kepentingan orang muda dan tidak boleh mengabaikan mereka. Ini bererti kita harus mendidik belia kita dengan lebih baik supaya mereka menjadi pengundi yang terdidik.
“Lebih penting daripada itu, ini bermakna belia kini sudah boleh memainkan peranan yang lebih penting dalam proses membina negara.
“Saya akan memperjuangkan ini di dalam kabinet dan parlimen .
“Ia amat menyedihkan apabila negara seperti Filipina, AS, UK, Perancis dan banyak lagi telah mengiktiraf intelek dan kematangan belia 18 tahun mereka tetapi di Malaysia, masih ada sebilangan yang menggelar mereka “bodoh” dan “tidak matang”.
“Ini adalah masanya kita ubah perkara ini. Saya mahu mereka menjadi sebahagian dari proses pembinaan negara. Ini adalah Malaysia kita. Bersama, selamanya,” katanya.
Mengubah usia layak mengundi daripada 21 tahun ke 18 tahun merupakan salah satu janji manifesto Pakatan Harapan.
Perubahan berkenaan memerlukan pindaan pada Perkara 119 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Memandangkan HARAPAN menguasai kurang daripada dua pertiga kerusi Dewan Rakyat, maka cadangan pindaan perlembagaan itu memerlukan kerjasama daripada anggota parlimen pembangkang.