loading...

Cheam June Wei ganti Chong Wei

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuat kejutan dengan menyenaraikan pemain pelapis kebangsaan yang menduduki ranking ke-81 dunia, Cheam June Wei bagi membawa cabaran negara di Sukan Asia 2018 di Indonesia, bulan depan.

Pemilihan pemain berusia 21 tahun itu adalah bagi menggantikan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang terpaksa menarik diri susulan masalah kesihatan.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata keputusan itu diputuskan Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (CT) selepas menilai beberapa faktor utama selain mengambil kira kecederaan yang dialami seorang lagi pemain negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin.

“Sebagaimana yang kita maklum, beberapa nama telah dikemukakan dan menurut keputusan yang dibuat CT untuk dihantar ke Majlis Olimpik Malaysia (MOM), kita mungkin akan mengetengahkan Cheam June Wei sebagai pengganti.

“Kita (BAM) akan menghantar nama beliau dan memohon kepada Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Indonesia (INASGOC) untuk membuat pertukaran secepat mungkin walaupun proses penamaan itu telah ditutup. Namun ia ada pengecualian bagi kes-kes tertentu yang melibatkan masalah kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian pakaian rasmi Asia Pacific Masters Game 2018 di sini, hari ini.

Antara pencapaian terbaik June Wei adalah menjuarai Kejohanan Terbuka Belanda pada April lepas, selain muncul naib juara Terbuka Finland (April) dan Terbuka Austria (Februari).

Pada masa sama, Mohamad Norza mengakui ketiadaan Chong Wei ternyata memberi impak terhadap sasaran pingat yang diletakkan ke atas skuad badminton negara di Indonesia.

“Dari segi sasaran pingat, sebelum ini kita sasarkan tiga, namun memandangkan Chong Wei tidak dapat bersama-sama, sasaran itu diturunkan kepada dua pingat. Tidak kira apa warna pingat sekali pun,” kata beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata perkembangan mengenai tahap kesihatan Chong Wei hanya akan dimaklumkan dalam tempoh tiga minggu hingga sebulan daripada sekarang.

“Saya sentiasa berhubung dengan beliau (Chong Wei) dan buat masa ini beliau sedang menjalani proses rawatan jadi sebaiknya kita biarkan dan berikan kesempatan untuk beliau meluangkan masa bersama keluarga.

Mungkin kita (BAM) akan maklumkan mengenai perkembangan kesihatannya dalam masa tiga minggu ke satu bulan daripada sekarang,” katanya.

— BERNAMA

Previous
Next Post »
loading...