loading...

Mangsa Pertama HFMD! Kanak-Kanak 2 Tahun 5 Bulan Meninggal Dunia

Seorang kanak-kanak berusia dua tahun lima bulan meninggal dunia semalam dipercayai akibat dijangkiti penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kematian kanak-kanak itu disebabkan oleh jangkitan paru-paru yang teruk dengan jangkitan HFMD dan sampel klinikal diambil untuk ujian pengesahan bagi mengetahui penyebab kematian.

Katanya, mangsa dari Kampung Pangtray, Daro, Mukah di Sarawak, mula mengalami demam pada Selasa lalu dan menunjukkan tanda-tanda seperti ruam di tapak tangan dan kaki serta ulser dalam mulut pada keesokkan harinya.

Beliau berkata kanak-kanak tersebut dibawa ke Klinik Kesihatan Daro pada hari berikutnya sebelum dirujuk ke Hospital Daro malam tadi.

Bagaimanapun, keadaan mangsa tidak stabil sebelum dihantar ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut sebelum meninggal dunia pada jam 2.08 pagi ini, katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai yang mempunyai anak-anak kecil mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko daripada dijangkiti penyakit berkenaan.

Malah menurut ibu arwah adik Farhan Lukman Abdullah, Mastura Ali, arwah seorang kanak-kanak yang aktif dan tiba-tiba berubah menjadi lemah dan hilang selera makan.

“Sebelum itu, dia memang aktif dan sering bermain bersama kakaknya. Malah arwah juga rapat dengan anak saudara saya yang lain.

“Bagaimanapun, selepas dijangkiti penyakit tersebut, keadaannya mula lemah dan tiada selera makan. Pada waktu malam pula, dia sering menangis dan tidak boleh tidur lena,” katanya.

Katanya, Farhan dikejarkan ke Hospital Daro tiga hari lalu, namun kemudiannya dirujuk ke Hospital Sibu apabila keadaan kesihatannya semakin merosot.

Sementara itu, saudara rapat yang enggan namanya dikenali menyifatkan pemergian arwah sebagai satu kehilangan besar untuk keluarga mereka.

“Masih terbayang keletah dan wajah riang Farhan ketika bermain bersama anak saya. Kini, dia tiada lagi dan meninggalkan kami buat selama-lamanya. Biar pun terasa kehilangannya, kami sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.

Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke Kampung Pangtray, Daro sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lemang Pek pada 2.30 petang semalam.

Sumber: Bernama & Metro

Tinggalkan Komen

Previous
Next Post »
loading...