loading...

Gempa Bumi Lombok: NADMA Sedia Salur Bantuan – TPM

SHAH ALAM: Kerajaan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sedia menyalurkan bantuan kepada Kerajaan Indonesia dalam berdepan bencana gempa bumi di Lombok.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata tawaran itu termasuk operasi mencari dan menyelamat serta proses pemulihan pasca bencana.

“Kita menawarkan untuk menolong mangsa-mangsa yang terlibat dalam gempa bumi di Lombok.

“Kita tunggu apa-apa yang diperlukan pihak Indonesia bagi rombongan kita terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat serta proses pemulihan,” katanya kepada media selepas Majlis Jamuan Minum Petang bersama pengundi DUN Sungai Kandis di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau turut mengesahkan mangsa yang meninggal dunia, Siti Nur Ismawida Ismail, 30, merupakan ahli PKR yang menetap di Desa Pandan, Ampang.

Gempa bumi kuat berukuran 6.4 skala Richter menggoncang wilayah Nusa Tenggara Barat dan Lombok jam 5.47 pagi tadi menyebabkan penduduk kawasan itu bertempiaran meninggal kediaman dan bangunan.

Menurut kenyataan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia (BMKG) gempa tersebut terjadi pada 5.47 pagi dan berpusat 28km barat Laut Lombok Timur dengan kedalaman gempa sekitar 10km.

Menurut BMKG, berlaku 31 gegaran susulan di bawah 5 skala Richter selepas gempa pertama itu sehingga jam 7.39 pagi tadi.

Previous
Next Post »
loading...