Kredit foto: Instagram Iqram Dinzly
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri terpanggil untuk menyuarakan isu kelakuan pelik pelakon Iqram Dinzly di laman sosial Instagram.
Zulkifli berkata, dia berharap Iqram dapat mendekati Al-Quran selain memperbanyakkan zikir.
"Kami nasihatkan saudara supaya mendekati Al-Quran, begitu juga zikir-zikir.
"Kami ada menonton beberapa LV (live video) saudara yang menunjukkan saudara adalah seorang yang melazimi zikir. Itu adalah hal yang amat baik kerana hanya dengan mengingati Allah SWT, jiwa akan menjadi tenang," tulisnya di akaun Instagram miliknya, semalam.
Mengulas mengenai pelbagai dakwaan berhubung keadaan Iqram, Zulkifli menganggap pihaknya tidak mengetahui kedudukan sebenar aktor itu.
"Berkenaan hal-hal yang berlegar di media sosial, kami mengambil sikap berkecuali kerana kami tidak tahu keadaan yang sebenar," katanya.
Namun Zulkifli meminta Iqram supaya mengendahkan kecaman yang diterimanya di media sosial kerana khuatir pemikirannya akan terganggu.
"Dalam masa yang sama, kami mengambil maklum akan cemuhan dan kata-kata kasar daripada netizen terhadap saudara.
"Nasihat kami, cemuhan-cemuhan berkenaan tidak perlu dipedulikan dan diambil perhatian kerana sejujurnya ia akan lebih memberikan tekanan kepada saudara," ujarnya.
Di kesempatan yang sama, Zulkifli merakamkan ucapan takziah kepada Iqram dan keluarganya atas kematian bapa beliau, Allahyarham Saipuddin Ahmad Said pada 10 Oktober lalu.
"Semoga Allah menghimpunkannya bersama-sama dengan orang yang soleh. Kami percaya, saudara Iqram dan Mama amat tabah menghadapi ujian ini.
"Kami sentiasa mendoakan yang terbaik untuk Iqram sekeluarga. Kami juga yakin, Iqram mampu menjaga mama dengan sebaiknya setelah pemergian papa yang dikasihi," katanya.
Dalam pada itu, Zulkifli melahirkan hasrat untuk bertemu Iqram secara empat mata di pejabatnya yang terletak di Putrajaya.
"Mungkin ada sisi-sisi tertentu yang boleh kami usahakan untuk bantuan dan sokongan.
"Semoga Allah memberikan ketabahan kepada saudara dalam menempuh ranjau kehidupan dengan penuh kesabaran dan kekuatan. Amin," ujarnya yang menjemput Iqram kerana ingin mengenali aktor itu dengan lebih dekat.
Malah dalam sebuah kiriman terdahulu, beliau turut meminta sesiapa yang mempunyai nombor telefon Iqram supaya tampil menyerahkan kepadanya.