Pengembaraan ke angkasa memerlukan kajian yang sangat teliti dilakukan, bagi mengenalpasti segala jenis masalah yang mungkin timbul ketika angkasawan sudah pun berada di ruang angkasa. Pelbagai perkara yang senang kita lakukan ketika di bumi, akan menjadi sukar apabila seseorang itu berada di angkasa lepas. Contohnya, apabila gatal kita selalunya akan menggaru dengan tangan. Jadi bagaimana angkawasan menggaru, ketika berpakaian baju angkasa?
Tanpa akses kepada tangan, angkasawan terpaksa bergantung kepada beberapa cara tidak konvensional untuk menggaru gatal yang timbul. Menurut kata seorang bekas angkasawan bernama Clayton Anderson, mereka terpaksa menggoyangkan badan dalam sut angkasa untuk menghilangkan kegatalan. Baju yang keras itu selalunya cukup untuk mengurangkan rasa gatal.
Bagaimanapun, rasa gatal di muka membawa cabaran berbeza.
Apa yang selalu angkasawan lakukan, mereka terpaksa menggunakan mikrofon atau pendengar telinga yang dipasang di bahagian wajah sebagai alat untuk menggaru. Itupun andainya rasa gatal itu muncul di bahagian yang betul. Selain itu, di dalam bahagian topi keledar mereka terdapat sejenis gentian berupa seperti span yang akan digunakan sebagai alat penutup hidung bagi membantu menyeimbangkan tekanan dalam telinga, yang dikenali sebagai valsalva device.
Bagi rasa gatal di bahagian muka, selalunya angkasawan akan menggunakan alat tersebut untuk menggaru.
Kaedah yang dibangunkan oleh NASA pula adalah dengan melekatkan beberapa keping pita velcro pada kedudukan tertentu dalam sut, yang bertujuan untuk memberikan permukaan kasar pada angkasawan menggaru muka. Itu adalah inovasi NASA paling efektif dalam membantu angkasawan menghilangkan kegatalan setakat ini.
Bagaimanapun, sekiranya gatal tersebut muncul pada tempat-tempat yang mustahil seorang angkasawan mampu hilang kegatalannya, apa yang mereka perlu lakukan adalah tahan sajalah sehingga kegatalan itu hilang.
Tempoh perlu bertahan itu pula adalah cukup menyeksakan kerana proses bekerja di angkasa memerlukan satu jarak tempoh yang agak panjang, dengan kebanyakan waktu untuk berjalan kaki di angkasa memerlukan angkasawan berada dalam sut selama 5 ke 8 jam.
Untuk melakukan sesuatu pula sangat sukar berikutan tekanan yang wujud dalam sut tersebut, yang membuatkan pergerakan yang mudah seperti menggenggam sesuatu pun menjadi sangat sukar. Tekanan yang terhasil daripada vakum angkasa itu perlu diatasi dan memerlukan fokus yang sangat tinggi daripada angkasawan.
Selalunya, apa yang berlaku kebiasaannya seorang angkasawan lebih banyak menghabiskan masa menumpukan perhatian pada kerja yang perlu dihasilkan, serta berkemungkinan besar masih berasa takjub melihat angkasa - sehingga membuatkan minda tidak fokus pada rasa gatal yang ada.
Namun sekurang-kurangnya jika dah tak tahan sangat nak menggaru, pita-pita velcro ada di sisi. Tidak banyak filem yang mahu memaparkan isu kecil seperti ini dalam filem kerana kelihatan tidak penting, tetapi bagi angkasawan - dapat menggaru dalam sut merupakan satu impian yang masih belum dapat dicapai.
Rujukan
How do astronaut scratch their nose in spacesuits?