loading...

Operasi Bernhard - Strategi Jerman Untuk Melumpuhkan Ekonomi British Pada Perang Dunia Kedua

Ketika perang dunia, pelbagai cara digunakan oleh setiap pihak untuk mengalahkan musuh termasuklah serangan bersenjata dan serangan penyakit berjangkit (epidemik). Pada Perang Dunia Kedua, pihak Nazi juga telah melancarkan “Unternehmen Bernhard” atau "Operasi Bernhard" melumpuhkan ekonomi British.

operasi bernahrd

Operasi Bernhard adalah strategi pihak Jerman mewujudkan ketidakstabilan dalam ekonomi British dengan mencetak wang-wang palsu. Mereka merancang untuk membuat lambakan wang palsu, seterusnya mengurangkan kepercayaan negara sekitar Eropah terhadap kestabilan mata wang pound sterling, seterusnya menyebabkan kejatuhan mata wang British dan inflasi yang teruk di British.

Idea mengenai operasi ini dipersetujui Hitler kerana beliau tahu kesan buruk kejatuhan nilai mata wang kepada kestabilan ekonomi sesuatu negara. Hal ini kerana Jerman sendiri pernah mengalami inflasi yang dahsyat selepas Perang Dunia Pertama.

Proses penghasilan wang palsu

Sesetengah daripada kita mungkin pernah menerima wang kertas atau not palsu secara tidak sengaja. Bagaimanapun, not palsu pada masa kini biasanya mudah dikesan dengan sekali pandang. Mengikut banyak sumber, not palsu yang dihasilkan Jerman ini merupakan wang palsu yang terbaik pernah dihasilkan kerana kualiti dan kesukaran membezakannya dengan not yang sebenar.

Pihak Jerman sangat teliti dalam menghasilkan wang palsu ini. Masalah pertama yang dihadapi mereka adalah mendapatkan kertas yang sama digunakan oleh pihak Bank of England. Beberapa keping not £5 yang asal telah dihantar ke makmal dan universiti untuk dilakukan ujian saintifik. Pihak Jerman akhirnya berjaya menghasilkan kertas yang hampir setaraf atau mirip kepada kertas yang digunakan pada not sebenar.

wang palsu england

Selepas bahan untuk untuk menghasilkan not ditemui, pihak Jerman menumpukan pula kepada butiran-butiran dan setiap ciri-ciri keselamatan yang terdapat pada not asli. Setiap bahagian pada wang tersebut telah diambil gambar dan gambar tersebut telah dibesarkan supaya para pereka wang palsu ini dapat menghasilkan wang yang sangat mirip kepada not yang asli. Mereka dapati terdapat kira-kira 150 tanda khas keselamatan pada not asli yang boleh membezakannya dengan not palsu.

Masalah seterusnya adalah bagi memastikan not-not palsu ini kelihatan sudah lama dan telah digunakan. Mereka melipat-lipat wang ini, membasuh, mengotorkan, membuat sedikit kesan koyakan dan membuat apa sahaja bagi memastikan not-not ini kelihatan sudah lama dan telah lama beredar di kalangan rakyat British.

Strategi penyebaran wang palsu

Setelah Jerman berjaya menghasilkan not-not palsu yang dirasakan benar-benar mirip kepada not yang asli, mereka perlu memastikan ianya diterima oleh pihak bank sebagai penanda aras bahawa ianya benar-benar sukar dibezakan dengan not asli.

Mereka telah menghantar seorang agen membawa wang palsu ini dalam jumlah yang banyak ke sebuah bank di England. Agen tersebut telah menyamar sebagai seorang wakil daripada sebuah bank di Jerman dengan membawa sebuah surat meminta kerjasama daripada pihak bank untuk meneliti dan mengesahkan sama ada not yang dibawanya palsu atau asli. Sangat mengagumkan apabila bank tersebut menyatakan not-not yang dibawa itu adalah asli.

Pihak Jerman masih kurang berpuas hati dan mereka telah meminta pihak Bank of England di London untuk mengesahkan status kesahihan not-not tersebut. Setelah 3 hari, mereka mengesahkan bahawa 90% daripada not-not tersebut adalah asli. Hal ini membuktikan betapa telitinya not palsu yang dicipta Jerman sehingga pihak bank sekalipun sukar membezakannya dengan not asli.

Strategi Operasi Bernhard

Walaupun objektit utama operasi ini adalah menjatuhkan ekonomi British melalui lambakan wang palsu, sesetengah pihak yang terlibat menyatakan bahawa wang palsu itu juga boleh digunakan oleh pihak Jerman sendiri untuk kepentingan mereka seperti mengupah pengintip, membeli emas, senjata dan menukar kepada mata wang asing. 

not palsu dibuang

Not-not palsu yang dihasilkan ini telah dilambakkan ke pasaran British melalui beberapa cara antaranya melalui pengintip Jerman yang berada di England. Mereka juga turut mengedarkan not-not palsu ini di negara-negara berkecuali yang bersempadanan dengan England. Urusan jual beli antara penduduk kedua-dua negara ini akan memudahkan not palsu ini masuk dan beredar di England kemudiannya.

Hitler juga telah mengarahkan sekiranya Jerman hampir tewas, segala bukti dan teknologi untuk menghasilkan not palsu ini dilupuskan, sama seperti yang diarahkan kepada koleksi hasil seni yang dicuri pihak Nazi daripada negara-negara yang dijajah mereka. Apabila Jerman tewas, not palsu, plat untuk menghasilkan not dan pelbagai lagi alatan telah dibungkus dan dibuang ke beberapa buah sungai antaranya di Ems, Traun dan Toplitzsee.

Respon kerajaan British

Pihak Bank of England pertama kali telah dimaklumkan akan strategi pihak Jerman ini oleh Kedutaan British di Paris. Pada 1943, Chancellor of the Exchequer telah mengumumkan pada 1943 bahawa pihak Bank of England tidak lagi akan mencetak not £5 dan keatas. Ini memudahkan pihak bank mengurangkan penggunaan not £5 dalam pasaran dan menghalang daripada luar masuk.

Akhirnya setelah 10 tahun, barulah pihak British menghasilkan not kertas £5 yang berwarna-warni menggantikan not lama berwarna hitam putih yang tidak digunakan lagi.

Adakah Operasi Bernhard berjaya?

Walaupun Jerman tewas, beberapa pihak mengatakan Operasi Bernhard telah berjaya mencapai objektifnya. Operasi ini berjaya mencetak £134 juta not palsu, iaitu kira-kira 10% daripada not mata wang British yang beredar di pasaran pada masa tersebut. Ketika perang sudah tamat, kepercayaan negara luar terhadap mata wang British semakin berkurang. Malah, mata wang British juga tidak boleh digunakan di sekitar Eropah.

Selain itu, urusan mengimport barangan dari luar juga menjadi semakin mahal kerana penjual tidak mahu menggunakan mata wang Pound pada masa itu. Jual beli antara individu juga menjadi sukar kerana mereka lebih berhati-hati untuk menggunakan not Pound kerana khuatir mereka bakal menerima not palsu.

Kredit:

  1. National Bank of Belgium
  2. The Telegraph
Previous
Next Post »
loading...