PELAKON kontroversi, Nur Fathia Abdul Latiff dilaporkan bakal berangkat ke Los Angeles pada awal Januari depan untuk merehatkan fikiran.
Memetik laporan Harian Metro, Fathia menafikan dakwaan segelintir pihak yang beranggapan percutian tersebut disebabkan dia ‘merajuk’ dengan pelbagai kontroversi yang dikaitkan dengan dirinya sepanjang 2017.
Sebaliknya, pelakon kontroversi yang pernah beraksi lucah di aplikasi Bigo Live ini menegaskan bahawa dia sememangnya sudah lama merancang percutian kerana ingin merasai duduk di negara orang.
“Saya selalu berfikiran positif dan segala kontroversi yang berlaku tidak pernah melemahkan semangat saya.
“Benar ada perkara timbul disebabkan diri sendiri tetapi saya belajar daripada kesilapan berlaku.
“Saya membuat keputusan menetap beberapa bulan di Los Angeles kerana ingin mendapatkan perspektif baru dalam hidup,” jelasnya.
Dalam usia yang sudah mencecah 30 tahun, Fathia berkata lagi, sudah tiba masa untuk dia ‘terbang’ untuk melihat dan belajar sesuatu yang baru.
“Pemergian ini saya tidak meletakkan apa-apa sasaran khusus. Saya juga tidak menetapkan akan duduk berapa lama di sana.Saya mungkin boleh saja mengubah fikiran dan hanya tinggal sebentar dan pulang kembali ke tanah air,” katanya.
Tambahnya lagi, faktor lain yang mendorong dia membuat keputusan ‘bawa diri’ ke sana adalah untuk bercuti kerana akui terlalu penat dengan jadual kerja sepanjang tahun tanpa rehat.
“Sekarang ini saya mahu melakukan apa yang saya mahu lakukan. Kebetulan saya tidak mempunyai apa-apa komitmen buat masa terdekat ini yang menyebabkan saya boleh saja pergi bercuti selama mana saya mahu,” tambahnya.
Sementara itu memetik sumber, Fathia dilaporkan bakal bertolak pada Januari 2018 namun tarikh penerbangan tidak pula didedahkan.
Sumber berkata lagi, kenalan Fathia bersedia membantu pelakon ini untuk mendapatkan penginapan sebaik tiba di sana. – MYNEWSHUB.CC/AM