KUALA LUMPUR – “Polis adalah satu institusi yang ramai anggotanya dan besar peranannya. Saya tertanya-tanya apakah Tun Dr. Mahathir Mohamad mempunyai Penasihat Politik atau tidak?”
Itu persoalan dibangkitkan ahli akademik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berikutan ucapan Mahathir dalam Perhimpunan Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Shah Alam, Selangor hari ini.
Katanya, ucapan Mahathir yang menuduh polis “tidak mematuhi undang-undang dan aturan peraturan” pada perhimpunan pertama PPBM berpotensi menyinggung perasaan pegawai dan anggota polis yang menjaga keselamatan negara ini.
“Ucapan Mahathir agak panjang iaitu merangkumi 70 perenggan. Apa yang berpotensi untuk ditonjolkan adalah bahagian ucapan beliau pada perenggan 23.
“Ini kerana bahagian ucapan ini boleh disensasikan hingga menyebabkan Pakatan Harapan diseliputi masalah dengan institusi polis pula setelah diseliputi masalah dengan institusi Raja-Raja Melayu,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Sebelum ini Mahathir menguris perasaan bangsa Bugis apabila dianggap menghina etnik itu semasa berucap dalam perhimpunan Pakatan Harapan di Petaling Jaya beberapa bulan lalu.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah malah menzahirkan rasa murka baginda terhadap perbuatan Mahathir menyebut Lanun Bugis kerana boleh mencetuskan perasaan benci serta prasangka buruk masyarakat terhadap etnik itu.
Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan bagaimanapun tidak meminta maaf diatas ketelanjuran itu sebaliknya menunjukkan kebiadapannya dengan memulangkan semula dua darjah kebesaran yang pernah diterimanya daripada Sultan Selangor.
Sebilangan pihak mendakwa perbuatan Mahathir itu berkemungkinan bertujuan menunjukkan kepada rakyat bahawa dirinya lebih besar berbanding Raja-Raja Melayu akibat dipengaruhi DAP yang kini menjadi sekutu kuatnya. – MYNEWSHUB.CC