loading...

Mayat Warga Emas Ditemukan Dalam Keadaan Berulat

BUKIT MERTAJAM – Mayat seorang lelaki warga emas dalam keadaan tidak berpakaian dan berulat dipercayai telah meninggal dunia sejak tujuh hari lepas ditemukan dalam sebuah rumah di Jalan Haji Sulaiman, Berapit di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata polis menerima maklumat berhubung penemuan mayat lelaki itu dikenali Ooi Chin Seng, 75, pada kira-kira 6.25 petang.

“Mayat warga emas itu dijumpai dalam bilik rumah kayu usang dipercayai miliknya dan berdasarkan siasatan awal, lelaki berkenaan tinggal bersendirian dan dipercayai seorang gelandangan dan meneruskan hidup dengan meminta sedekah,” katanya di sini malam ini.

Katanya pemeriksaan awal oleh polis tidak menemukan sebarang kesan kecederaan pada mayat mangsa dan mayat itu dihempap tilam yang berkemungkinan disandarkan di dinding rumah itu.

“Jiran-jiran warga emas itu berkata mereka tidak mendengar sebarang bunyi yang meragukan dari rumah lelaki berkenaan dan dia juga tidak kelihatan sejak minggu lepas,” katanya dan menurutnya mayat dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

Katanya siasatan awal mendapati lelaki itu mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah dan merupakan penagih tegar. – BERNAMA

Previous
Next Post »
loading...