PUTRAJAYA – Kira-kira satu juta pengunjung tempatan dan luar negara dijangka membanjiri Festival Light and Motion Putrajaya (LAMPU) 2017 yang bermula dari malam ini di Dataran Putrajaya, Presint 3, di sini.
LAMPU 2017 anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan sokongan Kementerian Wilayah Persekutuan yang melimpahi cahaya berwarna-warni dan menghiasi pusat pentadbiran negara itu bermula dari 7.30 malam hingga 12.30 tengah malam, akan berlangsung sehingga 31 Dis ini.
Selain lokasi utama di Dataran Putrajaya, festival yang memasuki tahun keempat penganjurannya turut membabitkan sebahagian besar bangunan kerajaan di Persiaran Perdana, Kompleks PPj dan Istana Kehakiman.
Festival yang memasuki tahun kelima penganjuran itu dirasmikan Presiden PPj Datuk Seri Hasim Ismail.
Menurut Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat PPj Tengku Aina Tengku Ismail Shah berkata festival ini berlandaskan objektif untuk mempromosikan serta menonjolkan Putrajaya sebagai bandar perintis di negara yang menerapkan elemen pencahayaan bersistematik dan dinamik.
“Bertemakan Ekspresi Negaraku, Ekspresi Malaysia dan alam semula jadi, festival ini membawa kelainan dengan menampilkan penggunaan teknik, teknologi visual, audio terkini serta pencahayaan beresolusi tinggi di dalam pemetaan bercahaya 3D(tiga dimensi) ‘Projection Mapping’ di fasad bangunan Istana Kehakiman,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.
Sejak 2002, Putrajaya yang merupakan satu-satunya bandar raya di Malaysia yang menjadi anggota Lighting Urban Community International (LUCI).
Menurut Tengku Aina, festival tahun ini memperkenalkan beberapa persembahan baharu seperti “The Kindle Garden” di Laman Kiblat Walk yang memaparkan taman fantasi iaitu gabungan dimensi nusantara dan alam maya.
Turut diperkenalkan adalah segmen “The Levitating Street & The 3D Street Art” yang memaparkan hiasan lampu gantung bertema dan lukisan 3D di ratas lantai.
Persembahan ‘The Vibrant Street ‘ dengan reka bentuk struktur cahaya unik dan kesan bayang-bayang, serta komponen “The Lighting Effect” dengan hiasan pelbagai rona lampu bangunan di sepanjang Persiaran Perdana, Presint 3 dan sebahagian Presint 2.
Antara aktiviti lain ialah Taman Hiasan Bercahaya, Struktur Bercahaya, Pameran Kereta & Beca Bercahaya dan pertunjukkan bunga api digital dan secara langsung pada ambang Tahun Baharu 2018.
Para pengunjung turut dihiburkan oleh pemain violin terkemuka Endang Hyder. – BERNAMA