CAKAP sahaja tentang rakan baik, pasti kita semua tahu bahawa mereka adalah antara insan yang paling kita percayai.
Boleh dikatakan antara individu yang terpenting dan hampir kesemua rahsia kita juga ada di tangan mereka, betul tak?
Namun apakah perasaan anda sekiranya mereka yang sudah dianggap seperti keluarga ini mengambil kesempatan dan menganiaya kita?
Baru-baru ini perkongsian daripada seorang wanita yang mengalami kerugian ribuan ringgit gara-gara terlalu mempercayai rakan baiknya telah mengundang simpati pengguna media sosial.
2017.
TAHUN DIMANA AKU HILANG RM20,000.00 OLEH KERANA KAWAN!
ini adalah bebenang halus fus fus puii
— Nadia McWillson (@AchuNadia) December 29, 2017
Menurut mangsa yang hanya dikenali sebagai Nadia McWillson, dia sudah mengenali rakannya itu sejak pada tahun 2010 lagi.
Mereka dikatakan bekerja bersama di salah satu agensi kerajaan dan sebagai membuktikan keakraban mereka, sudah hampir enam tahun mereka menyewa rumah bersama.
Tetapi siapa pun tidak menyangka, dalam tempoh enam tahun itu Nadia sebenarnya telah ditipu ‘depan-depan’ oleh rakannya.
Pada mulanya, Nadia langsung tidak mengetahui tentang perbuataan rakan baiknya itu, sehinggalah pada suatu hari tampil seorang individu yang mendakwa sebagai wakil syarikat kereta ke rumahnya.
Wakil syarikat itu mengatakan Nadia mempunyai tunggakan ansuran bulanan kereta yang tidak berbayar.
“Saya seriously tak tahu. Kantoi bila semalam ada mamat datang rumah cakap, saya tak bayar kereta dah tujuh bulan!
“Pada masa itu saya macam tanya kembali, kereta arwah abah dah lama habis bayar kot,” tulisnya di laman Twitter.
Lalu dia tertanya-tanya, mengapa namanya dikaitkan dan membuatkan dia meminta maklumat mengenai nama pendua kereta tersebut, jenisnya serta nombor pendaftaran kenderaan terbabit.
“Lelaki itu beritahu, kereta Axia tahun 2012 dengan nombor JP*12*2,” katanya.
Alangkah terkejutnya Nadia apabila mengetahui kereta itu sebenarnya milik rakan baiknya dan kenderaan itu pula telah diberikan pula kepada tunangnya.
Membuatkan Nadia terus menghubungi rakannya itu bagi mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.
“Saya terus hubungi housemate saya itu dan tanya dia apa yang berlaku. Kemudian baru dia cakap perkara yang sebenar.
“Selain daripada mencuri salinan MyKad dan lesen saya yang dia ambil sendiri dari fail di bilik, dia juga pakai duit tabung saya untuk bayar duit pendahuluan kereta,” katanya.
Menurut Nadia, dia memang ada menabung duit kertas di dalam balang yang disimpan di dalam biliknya namun rakannya baiknya itu telah mencuri empat daripada 15 balangnya.
“Yes, dia tahu saya jenis yang menabung duit kertas RM5, RM10 dan RM20. Jadi, duit note RM5 yang saya simpan dari tahun 2007 hingga 2017 ada lebih 15 balang semuanya, dia guna empat balang penuh duit tabung RM5 saya.
“Saya langsung tak perasan sebab saya fikir saya dah simpan kemas dan semuanya akan selamat. Malangnya tidak.
“Bila saya tanya berapa jumlah duit yang ada dalam empat balang itu, it was almost RM4,000! Ya, hampir RM4,000!,” katanya.
Tidak cukup dengan mencuri, rupa-rupanya selama ini Nadia turut membayar duit sewa rumah selama mereka seorang diri selama tinggal bersama.
“Saya baru dapat tahu sewa rumah saya bayar double. Kerana percaya, saya selama ini fikir sewa rumah RM1,600, tetapi sebenarnya cuma RM800.
“Ya, cuba bayangkan duit sewa rumah RM800. Tapi dia cakap pada saya sewa rumah RM1,600. So kami bayar RM800 seorang. Ya, saya tertipu. Sumpah saya menangis sekarang.
Nadia akhirnya membuat keputusan untuk melaporkan perkara berkenaan kepada polis dan turut melantik seorang peguam bagi menyelesaikan kes penipuan melibatkan dirinya itu.
“Terima kasih kepada semua kerana memberikan nasihat dan menghantar mesej di laman sosial. Saya baru consulted dengan seorang lawyer ini dan sekarang kami dalam perjalanan menuju ke balai polis.
“Saya rasa sedih sebab saya rasa tertipu oleh kawan baik saya sendiri. But yeah, she can also make me trouble. Ada chances saya boleh diisytiharkan muflis kalau tak bayar,” katanya.
Difahamkan selepas perbincangan dilakukan, rakan baiknya itu perlu membayar padanya RM25 ribu dan perlu membayar RM14 ribu lagi jika mahukan keretanya. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: Twitter Nadia McWillson
*Video di bawah sekadar hiasan…