loading...

4,000 Murid Mendaftar Tahun 1 Di Putrajaya

PUTRAJAYA – Sebanyak 4,000 murid mendaftar ke Tahun Satu bagi sesi persekolahan 2018 di kesemua 14 buah sekolah rendah di seluruh Putrajaya, kata Pengarah Pendidikan Putrajaya, Roaini Jaafar.

Beliau berkata jumlah berkenaan merupakan peningkatan 1,000 murid berbanding murid Tahun Satu yang mendaftar pada sesi persekolahan 2017 iaitu 3,000 orang.

“Ini merupakan jumlah pendaftaran murid Tahun Satu tertinggi yang dicatatkan di Putrajaya setakat ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau hari orientasi murid Tahun Satu dan pendaftaran prasekolah bagi sesi persekolahan 2018 di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 11(2) di sini hari ini.

Jelasnya, jumlah pendaftaran murid Tahun Satu yang tertinggi di Putrajaya bagi sesi persekolahan 2018 ialah di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 5(1) iaitu 400 orang sehingga sekolah berkenaan terpaksa membuka 11 buah kelas.

Tambah Roaini, peningkatan ketara pendaftaran pelajar Tahun Satu di Putrajaya kali ini adalah ekoran pertambahan penduduk dengan projek perumahan baharu termasuk Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia.

Setakat ini, sekolah-sekolah di Putrajaya masih mampu menampung pertambahan murid khususnya yang masuk ke Tahun Satu, katanya lagi. – BERNAMA

Previous
Next Post »
loading...