KOTA BHARU – Kerjasama di antara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta warga media perlu diperkukuhkan lagi dalam menyebarkan maklumat kepada masyarakat.
Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim berkata dalam setiap kejadian bencana, anggota bomba adalah pasukan pertama yang tiba untuk membantu mangsa manakala tugas media pula adalah melaporkan kejadian tersebut.
“Peranan bomba adalah memastikan keadaan bencana terkawal dan anggota penyelamat dapat melaksanakan tugas mereka dengan lebih berkesan,” katanya pada Majlis Malam Media Bersama JBPM di Ibu Pejabat JBPM Kelantan di sini, malam tadi.
Sehubungan itu, beliau mahu hubungan jabatan tersebut dengan pihak media terus dipereratkan.
Sementara itu, Wan Mohd Nor berkata pihaknya sentiasa bersedia sekiranya berlaku banjir di negeri ini pada musim tengkujuh yang dijangka berlarutan hingga Mac depan.
“JBPM sudah lama membuat persediaan dan dalam memastikan kesemua tugasan berjalan lancar, pihak berkaitan sudah bersetuju supaya balai bomba dijadikan pusat berkumpul untuk semua agensi menyelaraskan pelaksanaan operasi.
“Dengan cara ini, semua tugasan membantu dan menyelamat sesuatu kejadian bencana dapat diselaraskan dengan lebih berkesan,” katanya. – BERNAMA