loading...

FAS Akan Bersemuka Dengan PSSI Isu Evan, Ilham

SHAH ALAM – Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bakal bersemuka dengan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) bagi mencari jalan penyelesaian berhubung isu perpindahan dua pemain muda republik itu ke skuad Gergasi Merah.

Naib Presiden FAS Datuk Abdul Rauf Ahmad berkata satu pertemuan melibatkan Presiden FAS Datuk Seri Subahan Kamal bersama PSSI akan diadakan dalam masa terdekat memandangkan dua pemain tersebut iaitu Evan Dimas dan Illham Udin Armaiyn sudah mengikat kontrak bersama Selangor.

“Kami sememangnya mahu dan berharap supaya isu ini diselesaikan dengan baik kerana mereka sudah menandatangani kontrak bersama kami. Jadi, kami tidak mahu timbul masalah jika pemain itu gagal melapor diri pada tarikh yang dijanjikan.

“Kami tidak mahu memanjangkan kes ini kerana ia akan mencetuskan pelbagai masalah. Jika kes ini dibawa ke Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), ia akan menjejaskan karier dua pemain tersebut,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas taklimat pasukan Liga Malaysia 2018 di sini, hari ini.

Sebelum ini, media Indonesia melaporkan Presiden PSSI Edy Rahmayadi membidas keputusan dua pemain skuad Bawah 23 Tahun (B-23) Indonesia itu berpindah ke Selangor dengan melabel mereka sebagai tidak patriotik dan ‘mata duitan’.

Ia susulan kebimbangannya jika corak permainan pemain muda skuad ‘Garuda’ itu mudah dibaca jurulatih skuad negara, sekali gus akan memberi kesan negatif terhadap pasukan Indonesia.

Pada masa sama, Edy turut melahirkan kebimbangan sekiranya Selangor tidak membenarkan dua pemain itu menyertai latihan pusat skuad Indonesia bagi menghadapi temasya Sukan Asia 2018. – BERNAMA

Previous
Next Post »
loading...