BANGKOK – Mahkamah negara ini menjatuhkan hukuman penjara selama 13,275 tahun kepada seorang lelaki selepas dia didapati bersalah terlibat dalam aktiviti penipuan skim kewangan.
Lapor BBC, Phudit Kittithradilok, 34, mengaku menjalankan sebuah skim dikenali sebagai Ponzi, di mana dia menjanjikan pulangan kewangan yang tinggi kepada para pelaburnya.
Susulan pengakuannnya itu, mahkamah mengurangkan separuh hukumannya kepada 6,637 tahun dan enam bulan.
Bagaimanapun lelaki berusia 34 tahun itu mungkin hanya menerima 20 tahun maksimum hukuman penjara memandangkan had tempoh hukuman itu ditetapkan Kanun Keseksaan Thailand yang tidak mengambil kira beberapa banyak tuduhan yang dikenakan.
Sejak Ogos 2015 hingga September 2016, kira-kira 40,000 orang berjaya ditipu oleh Pudit untuk melaburkan sebanyak AS$160 juta (kira-kira RM649 juta) dalam syarikatnya.
Mahkamah mendapati dia terlibat dalam pinjaman haram dan kira-kira 2,653 kes penipuan.
Menurut para pendakwa raya di mahkamah, Pudit menganjurkan seminar di mana para peserta digalakkan untuk melabur dalam apa jua perniagaan seperti pembangunan hartanah, kecantikan, kereta terpakai dan eksport.
Pudit ditahan di Penjara Reman, Bangkok sejak dia ditangkap pada bulan Ogos lalu, selepas ikat jaminnya ditolak.
Mahkamah turut mendenda dua buah syarikat miliknya sebanyak AS$20 juta (RM81 juta) setiap satu dan mengarahkan Pudit membayar balik kira-kira AS$17 juta (RM69 juta) kepada kesemua mangsa dengan faedah tahunan sebanyak 7.5 peratus. -MYNEWSHUB.CC