AMPANG – Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos sekali lagi menggesa Kerajaan Negeri Selangor supaya mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) membatalkan atau menarik balik lesen pusat hiburan keluarga serta-merta kerana khuatir ada dikalangan pemilik premis berkemungkinan menyalahgunakan lesen itu dengan membuka premis judi.
Jamal mendakwa pihak berkuasa tempatan di Selangor telah meluluskan sebanyak 37 permohonan lesen pusat hiburan keluarga, semalam.
“Kita khuatir premis berkenaan akan menyalahgunakan lesen itu untuk kegiatan judi online bagi menarik pelanggan,” katanya dalam sidang media yang diadakan di pejabat Gabungan NGO Malaysia media hari ini.
Jamal berkata, pihaknya tidak memberi amaran tetapi desakan kepada kerajaan negeri.
“Saya tidak dapat menunding jari kepada pihak polis berhubung isu ini kerana puncanya pengeluaran lesen itu dipercayai telah disalahgunakan oleh tauke judi,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga yakin terhadap pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia termasuk Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengatasi perkara ini.
“Polis tetap akan melakukan serbuan dan rampasan ke atas premis berkenaan, kita juga berharap polis akan mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha yang berselindung atas nama pusat hiburan keluarga,” katanya.
Jamal turut membawa tiga tukul sebagai simbolik anti kedai judi di negeri ini.
“Tidak mustahil tukul ini berkemungkinan akan terbang melayang di kedai-kedai judi di negeri ini,” katanya. -SINAR HARIAN
Loading...