loading...

Premis Tak Ikut Spesifikasi Keselamatan Ditetapkan Boleh Ditutup

SIK – Mana-mana premis di Kedah, termasuk sekolah pondok dan pusat tahfiz, yang gagal mengikuti spesifikasi keselamatan yang ditetapkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), boleh ditutup bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Pengarah JBPM Kedah Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Abdul Razak Muda berkata terdapat undang-undang mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Bomba 1988, yang membolehkan tindakan itu diambil ke atas premis terbabit.

“Tindakan boleh diambil terutamanya di premis yang mempunyai ‘sleeping risk’, yang mana ada penghuni tidur di dalamnya, seperti dua kes yang berlaku sebelum ini iaitu kebakaran Pondok Pak Ya (Sekolah Agama Taufiqiyah Khairiyah Al-Halimiah, Yan) dan Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah di Kampung Dato Keramat, Kuala Lumpur, yang berlaku pada waktu malam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis pelancaran kempen mencegah kebakaran, pelancaran skuad bomba pondok dan pelancaran bomba komuniti peringkat zon 2, Sungai Petani di Kampung Pondok Ampang Jeneri, di sini, hari ini oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Jeneri Mahadzir Abdul Hamid.

Sementara itu, Abdul Razak berkata trend kebakaran melibatkan institusi pondok dan pusat tahfiz berkenaan dilihat berlaku pada waktu malam.

“Kejadian kebakaran melibatkan sebuah sekolah pondok di Baling yang dilaporkan berlaku pada 8 Sept lalu, juga berlaku pada waktu malam.

“Tiga aktiviti yang menyumbang kepada berlakunya kebakaran pada waku malam ialah merokok, memasang lilin dan ubat nyamuk konvensional, kebarangkalian terjadi kebakaran agak tinggi sebab itu aktiviti ini tidak boleh diamalkan di mana-mana premis, sama ada sekolah pondok, (pusat) tahfiz bahkan rumah sendiri,” katanya. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...