loading...

36 Pemain Disenarai Pendek Jalani Latihan Pusat Hadapi Piala Sultan Johor

KUALA LUMPUR – Seramai 36 pemain disenarai pendek untuk menjalani sesi latihan pusat skuad hoki remaja kebangsaan sebelum jumlah berkenaan dikecilkan kepada 18 pemain untuk menggalas cabaran negara pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor, bulan depan.

Pengarah Teknikal Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) , Terry Walsh berkata skuad berkenaan yang turut dikenali sebagai skuad pembangunan 2020 kini dalam fasa keempat latihan bagi menghadapi kejohanan hoki jemputan antarabangsa Bawah 21 tahun itu yang dijadual berlangsung di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru dari 22-29 Okt ini.

“Dengan kredibiliti yang dimiliki oleh Nor Saiful Zaini dan Wallace Tan, mereka bekerja keras untuk mempersiapkan pasukan ini dan satu lagi fasa latihan akan berlangsung seminggu sebelum kejohanan bermula di Johor, di mana pemain akan dikumpulkan di Johor untuk fasa latihan terakhir sebelum kejohanan bermula dan semestinya kami memiliki pasukan yang terbaik untuk menghadapi cabaran tersebut,” katanya dipetik sebagai berkata menerusi laman sesawang MHC;www.mhc.org.my.

Mengenai sasaran KHM pada kejohanan berkenaan, Walsh memaklumkan badan induk itu akan menggunakan kedudukan ranking ke-12 dunia pasukan senior kebangsaan sebagai penanda aras bagi skuad muda negara mencatat keputusan positif pada saingan kali ini.

Bekas pengendali skuad senior kebangsaan dari 1990-1993 itu bagaimanapun sedar ia bukan tugas mudah memandangkan fokus utamanya ketika ini adalah mempersiapkan pasukan muda negara bagi menghadapi kejohanan Piala Dunia Remaja 2020.

“Kami juga cuba untuk melakukan sedikit perubahan dalam pemilihan pemain kerana salah satu kelemahan yang dikenal pasti dalam arena hoki di Malaysia adalah kebolehan untuk memimpin di atas padang dan jika kami memilih pemain yang berada dalam lingkungan usia yang sama ia mungkin sedikit rumit.

“Kami memilih pemain dari lingkungan 17 hingga 21 tahun jadi pemain yang lebih muda dapat belajar sifat kepimpinan di atas padang daripada pemain yang lebih senior,” jelas Walsh.

Dalam pada itu, beliau yakin skuad muda negara sudah bersedia untuk menghadapi saingan di Johor Bahru dan yakin mereka akan menampilkan persembahan yang berkualiti pada kejohanan itu nanti.

“Tenaga kejurulatihan telah melakukan tugas dengan sebaiknya untuk mencantikkan lagi corak permainan pasukan dan bagaimana hasilnya adalah sangat menarik untuk disaksikan.

“Bagaimanapun usaha untuk mencantikkan corak permainan pasukan tidak mengambil masa seminggu atau dua tetapi mengambil masa beberapa bulan dan pemain telah bersedia untuk mengambil cabaran tersebut serta memberikan permainan yang berkualiti,” tegas jurulatih kelahiran Australia itu.

Enam negara mengesahkan penyertaan pada edisi ketujuh Piala Sultan Johor yang menawarkan wang tunai keseluruhan berjumlah RM1.89 juta iaitu juara bertahan Australia, India, England, Jepun, Amerika Syarikat dan Malaysia selaku tuan rumah.

Untuk rekod, Malaysia menjuarai kejohanan tahunan berkenaan pada 2011 yang merupakan tahun pertama ia diperkenalkan. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...