Sumber foto asal: buasirotak.blogspot.com
Ramai penduduk ibu kota menaiki LRT untuk menjalani urusan harian seperti pergi ke tempat kerja, membeli-belah dan lain-lain. Memandu kereta dalam keadaan trafik yang sesak setiap hari memang boleh bikin stres. Dengan LRT, kos perbelanjaan yang tinggi seperti membayar minyak, tol dan parkir dapat dielak. Jom semak antara jenis pengguna LRT yang kita terpaksa tempuhi setiap hari.
1. Kaki tidur
Sumber foto: http://twitter.com/SleepyCommuters
Si kaki tidur ini biasanya mereka yang keletihan selepas pulang dari bekerja. Tidak hairanlah, mereka boleh tidur samada dalam keadaan duduk atau berdiri. Jika anda duduk bersebelahan orang seperti ini, bersiap sedialah dengan meminjamkan bahu anda untuk dijadikan 'bantal' mereka. Jangan sampai baju anda basah dibuatnya dek air liur basi mereka. Itu belum dikira bunyi dengkur yang dah macam 'orkestra'. Tadahlah telinga atau anggap sahaja anda sedang buat kerja amal.
2. Suka bersembang kuat
Sumber foto: transitchicago.com
Biasanya golongan ini terdiri daripada sekumpulan kanak-kanak remaja. Perbualan mereka ini diiringi gelak ketawa yang kadangkala menyeronokkan didengar. Ada sahaja aksi atau cerita kelakar yang disampaikan dengan penuh semangat. Dah macam kat pasar malam pun ada. Tapi, kalau boleh perlahankanlah sikit suara tu. Jangan sampai mengganggu ketenteraman pengguna LRT yang lain sudahlah ya.
3. Berebut untuk masuk cepat
Sumber foto: transitchicago.com
Tabiat ini memang kita boleh nampak hampir setiap hari. Bila sampai sahaja tren, ada segelintir mereka ini yang suka terburu-buru untuk masuk tanpa memberi laluan kepada orang di dalam yang hendak keluar. Dah macam pertandingan pun ada. Apa salahnya bertolak-ansur dengan menunggu sehingga pengguna LRT di dalam selesai keluar terlebih dahulu. Bila ada pengawal bertugas, barulah masing-masing tahu beratur. Rasanya budak sekolah pun tahu ikut arahan. Tak wujud rasa malu ke?
4. Paksa diri masuk tren yang dah macam 'tin sardin'
Sumber foto: alamy.com
Bila nampak tren dah penuh tu, gunakan common sense untuk tunggu sahaja tren yang seterusnya. Melainkan ada urusan penting yang memerlukan anda menepati masa. Jika sekadar keluar untuk tengok wayang atau makan dengan rakan, tak rugi pun untuk tanam sifat sabar tu sikit. Apabila tren padat, penghawa dingin memang tidak dapat dirasa sangat. Ditambah pula dengan bau badan bermacam jenis orang, boleh pening kepala dan terpaksa tahan nafas dibuatnya. Selepas ini, bila pintu sampai dah tersangkut dan tak boleh tutup tu, silalah keluar dulu ya.
5. Guna kerusi zon keutamaan sesuka hati
Sumber foto: transitchicago.com
Golongan seperti ini bukan sahaja tidak prihatin, malah pentingkan diri sendiri. Paling tak tahan, boleh pula buat muka tak bersalah bila ada golongan yang lebih memerlukan seperti warga emas, ibu mengandung atau orang kurang upaya (OKU) terpaksa berdiri di sebelah mereka. Kalau ternampak pengguna LRT seperti ini, nasihatkan mereka depan-depan. Kalau masih tak makan saman, ambil sahaja gambar mereka dan tularkan supaya menjadi pengajaran.